Saudi Aramco dijangka bawa pelaburan lebih besar - Utusan Malaysia

Saudi Aramco dijangka bawa pelaburan lebih besar

SAUDI Aramco dijangka membawa pelaburan lebih besar sekiranya membeli stesen minyak Shell di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelaburan lebih besar dijangka dibawa masuk oleh Saudi Aramco jika syarikat milik kerajaan Arab Saudi itu mengambil alih perniagaan stesen minyak Shell di negara ini, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, Saudi Aramco merupakan antara pemain industri penting pada skala global dan berkembang pesat, dipacu oleh kekuatan kewangan daripada hasil buminya sendiri.

“Justeru, sekiranya ia berjaya memasuki sektor runcit dan hartanah Malaysia, dijangka akan lebih besar pelaburan yang ia akan bawa masuk untuk memastikan keupayaan dan saiznya sebagai pemain di peringkat global.

“Ia juga baik dari aspek menambahkan kepelbagaian pelaburan di Malaysia yang lebih terdorong kepada negara-negara barat dan China sahaja.

“Saudi Aramco mewakili negara-negara Asia barat yang tetap berminat melabur secara besar-besaran di Malaysia terutama dalam industri strategik negara seperti minyak dan gas,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kehadiran Saudi Aramco juga akan memberikan saingan yang sihat kepada Petronas dan pemain-pemain industri lain untuk meningkatkan tawaran kepada pelanggan masing-masing.

Ujarnya, syarikat tersebut mungkin berhasrat untuk mengembangkan rantaian nilai perniagaannya selepas berjaya bertapak melalui pelaburan besarnya di Bandar Pangerang, Johor.

“Sebagai antara pemain utama global industri minyak, pastinya Saudi Aramco mahu masuk ke dalam pasaran runcit Malaysia secara skala besar, antaranya melalui pengambilalihan rangkaian runcit Shell yang merupakan antara pemain besar di Malaysia.

“Bukan sahaja dari aspek industri runcit minyak tetapi juga hartanah, iaitu dapat memiliki lokasi perdagangan yang amat strategik di seluruh negara. Apatah lagi stesen-stesen minyak Shell mempunyai pasaran yang kukuh di kawasan bandar besar dan lokasi strategik di lebuh raya,” ujarnya.

Kelmarin, sumber Reuters melaporkan Shell sedang berbincang dengan Saudi Aramco untuk menjual perniagaan stesen minyaknya di Malaysia dan perjanjian urus niaga itu boleh bernilai sehingga AS$1 bilion (RM4.7 bilion)

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam laporan Utusan Malaysia memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Petronas minggu ini bagi memperincikan kerjasama syarikat itu dengan Saudi Aramco di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor.

Jelasnya, Saudi Aramco sebelum ini sudah menyatakan komitmen untuk memperluas fasilitinya di Pengerang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×