SINGAPURA: Shell, syarikat gergasi bahan api dan tenaga sedang berbincang dengan Saudi Aramco milik kerajaan Arab Saudi untuk menjual perniagaan stesen minyaknya di Malaysia.
Menurut empat sumber industri yang mengetahui mengenai perbincangan itu, perjanjian urus niaga itu boleh bernilai sehingga AS$1 bilion (RM4.7 bilion).
Shell memiliki rangkaian stesen minyak kedua terbesar di negara ini, enggan mengulas mengenai rundingan itu tetapi berkata, Malaysia adalah negara penting kepada syarikat itu.
Sementara itu, Saudi Aramco juga enggan mengulas mengenai perkara terbabit.
Berdasarkan laman web miliknya, Shell yang berpangkalan di London memiliki sepenuhnya sekitar 950 stesen minyak di seluruh negara Asia Tenggara, manakala Petronas milik kerajaan Malaysia adalah pengendali terbesar rangkaian stesen minyak di Malaysia.
Kata satu sumber, rundingan bermula pada akhir 2023 dan perjanjian mungkin dimuktamadkan dalam beberapa bulan akan datang.
Dalam pada itu, dua sumber yang diberi taklimat mengenai perkara itu meletakkan potensi saiz urus niaga pada kira-kira RM4 bilion hingga RM5 bilion.
Sebagai tambahan kepada stesen minyaknya, Shell menjual pelincir industri, mengeluarkan minyak mentah dan gas asli di luar pesisir Sarawak dan Sabah serta adalah rakan usaha sama dalam dua usaha niaga gas asli cecair (LNG).
Penjualan itu adalah sebahagian daripada usaha Ketua Pegawai Eksekutif Shell, Wael Sawan untuk memfokuskan operasi syarikat kepada perniagaan yang paling menguntungkan.
Shell berkata, ia akan berusaha untuk melepaskan 500 stesen minyak tahun ini dan seterusnya.
Syarikat sedang dalam proses menjual kilang penapisan dan petrokimia Singapura.
“Usaha Shell untuk menjual stesen minyaknya di Malaysia adalah konsisten dengan langkahnya untuk menjual loji penapisannya di Pulau Bukom di Singapura, yang membekalkan kepada rangkaian stesen minyaknya,” kata salah satu sumber.
Saudi Aramco tidak mempunyai stesen minyak di Malaysia, walaupun ia memiliki 50 peratus daripada 300,000 tong sehari (bpd) penapisan Pengerang di Johor dalam usaha sama dengan Petronas, yang menjual bahan api di dalam negara dan juga untuk eksport.
Aramco mengendalikan stesen minyak di Arab Saudi dan juga mengendalikan stesen minyak di tempat lain dalam usaha sama dengan TotalEnergies utama Perancis dan S-Oil Corp Korea Selatan. – REUTERS










