Anwar jumpa Petronas bincang kerjasama Saudi Aramco

Anwar jumpa Petronas bincang kerjasama Saudi Aramco

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dengan Petronas minggu ini bagi memperincikan kerjasama syarikat itu dengan Saudi Aramco di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor.

Perdana Menteri berkata, Saudi Aramco sebelum ini sudah menyatakan komitmen untuk memperluas fasilitinya di Pengerang.

“Saya akan bincangkan dengan Petronas dalam masa satu atau dua hari ini kerana ada tiga perkara pokok.

“Dua sudah selesai, satu ada masalah sedikit yang harus kita putuskan di peringkat kerajaan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.

Disember tahun lalu, Saudi Aramco dilaporkan mahu memperluas aktiviti hiliran di Malaysia sekali gus menjadikan Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) di Johor sebagai hab terbesar di Asia Tenggara.

Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, beliau akan membentangkan mengenai penggunaan digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam kerajaan pada mesyuarat Kabinet esok.

Katanya, pembentangan itu selari dengan komitmen kerajaan yang sudah dipersetujui secara dasar dan secara tidak langsung untuk memudahkan pelabur datang ke Malaysia.

“Saya berbincang panjang (dengan syarikat pelabur), mereka tentunya lakukan perbincangan dengan MIDA, MATRADE, kementerian tenaga tetapi kemudian dia mahu beberapa kepastian dari saya mengenai ‘third party access’ terutama berkait dengan Microsoft dan ‘cloud computing’.

“Semua perubahan dari segi penggunaan AI dalam kerajaan sudah dipersetujui diperingkat dasar dan ia akan diperkukuhkan dalam mesyuarat Kabinet esok,” katanya.

Beliau percaya keyakinan pelabur dapat ditingkatkan seiring dengan penguasaan teknologi baharu, digital dan AI.

Anwar berkata, beliau mengakui masih ada jabatan-jabatan yang enggan untuk beralih kepada teknologi baharu itu kerana mahu mengawal ‘server’ masing-masing.

“Masih ada kadangkala keengganan dab kegusaran jabatan-jabatan kerana nak kawal server masing-masing, tapi itu pemikiran 80-an.

“Kita mesti menjelaskan kepada mereka malah, saya jelaskan juga kepada Microsoft dan Googleg bahawa kita akan memperluas teknologi baharu itu namun, pada masa tetap mengutamakan keselamatan negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN