PETALING JAYA: Aliran meningkat ringgit berterusan, kembali kepada paras RM4.70 selepas Rizab Persekutuan (Fed) memberikan jaminan mengenai kadar faedah yang membantu mengurangkan kebimbangan selepas data Indeks Harga Pengeluar (IHPR) AS yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Pada 9 pagi semalam, ringgit mengukuh kepada 4.7070/7115 berbanding dolar AS daripada 4.7160/7190 pada Selasa, sebelum ditutup pada 4.7010/7060 di akhir dagangan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kenaikan kadar faedah adalah begitu tipis sekali, berikutan dasar monetari yang ketat buat masa ini mampu untuk mengurangkan tekanan inflasi di AS.
Katanya, perkara ini memberi kelegaan kepada pasaran kewangan kerana kenaikan kadar faedah sudah pasti akan membebankan peniaga dan peminjam disebabkan kos pembiayaan yang meningkat.
“Justeru, situasi ini telah memberi sokongan kepada nilai ringgit. Selain daripada Fed, faktor prospek pertumbuhan ekonomi serta usaha untuk mereformasikan ekonomi negara dilihat mampu menarik perhatian pelabur asing untuk masuk dan membeli saham-saham di Malaysia.
“Perkara ini sekaligus mewujudkan permintaan terhadap mata wang ringgit. Sekiranya momentum ini dapat dikekalkan, ringgit dijangka stabil sekitar RM4.70,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Pengerusi Fed, Jerome Powell berkata, langkah berkaitan kadar faedah yang seterusnya oleh bank pusat AS dijangka tidak mencatatkan kenaikan, menggambarkan bacaan sebagai lebih bercampur-campur berdasarkan data sebelumnya yang telah disemak lebih rendah.
Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, halangan seterusnya masih lagi berlegar berkenaan Fed dan mereka akan mesyuarat pada pertengahan Jun.
Beliau berkata, para peserta pasaran akan terus memantau situasi ini.
“Prospek ekonomi yang baik serta usaha mereformasikan ekonomi yang berterusan sudah pasti akan mewujudkan sentimen yang positif dan seterusnya boleh mewujudkan permintaan terhadap ringgit .
“Selain itu, ringgit juga dilihat mengukuh berbanding dolar Singapura, yuan dan yen,” ujarnya. – UTUSAN











