PETALING JAYA: Ringgit berpotensi didagangkan dalam julat RM4.50 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun ini jika dibantu potongan Rizab Persekutuan (Fed) AS sekurang-kurangnya satu peratus.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, potongan kadar faedah yang banyak akan menyebabkan nilai ringgit mengukuh seiring menurunnya nilai mata wang dolar AS.
Katanya, unjuran mata wang ringgit banyak dipengaruhi oleh tindakan Fed AS dalam mengawal kadar faedahnya.
“Sekiranya kadar sekarang dikekalkan pada 5.25 peratus hingga 5.5 peratus sehingga akhir tahun, maka tidak akan ada banyak perubahan kepada nilai dolar AS serta sedikit sahaja berlaku perubahan kenaikan nilai ringgit,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, ujar beliau, ia turut bergantung kepada faktor-faktor lain seperti tiada perkembangan panas krisis geopolitik dunia di Eropah dan Asia Barat.
“Tetapi, sekiranya krisis itu kembali bergolak maka mata wang AS akan kembali mengukuh dan ringgit akan melemah,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Penyelidik TA Securities, Kaladher Govindan berkata, pihaknya masih kekal dengan unjuran awal ringgit dijangka berpurata sekitar RM4.45 berbanding dolar AS pada tahun ini.
“Kami mengekalkan pandangan bahawa ringgit mempunyai potensi untuk berdagang pada nilai saksamanya menjelang akhir tahun, mungkin dalam julat RM4.30 hingga RM4.50 berbanding dolar AS.
Namun, beliau mengakui ketidakpastian yang wujud dalam landskap ekonomi boleh mempengaruhi pergerakan ringgit dan percaya terdapat kemungkinan sedikit penurunan dalam masa terdekat.
“Fleksibiliti dan kebolehsuaian akan menjadi faktor penting dalam mengharungi sebarang cabaran tidak dijangka yang mungkin muncul,” katanya.
Beliau berkata, TA Securities terus berwaspada, memantau dan menilai perkembangan ringgit secara berterusan.
“Dalam peristiwa lonjakan yang terlalu mendadak atau peristiwa tidak dijangka yang memberi kesan kepada sentimen pasaran, kami bersedia untuk melaraskan purata tahun penuh dengan sewajarnya,” katanya .
Mengulas prestasi ringgit bulan lalu, Kaladher berkata, ringgit menunjukkan prestasi lemah dengan ditutup pada RM4.7725 berbanding dolar AS sehingga akhir April.
“Ia mewakili susut nilai sebanyak satu peratus dari bulan ke bulan, berbeza dengan RM4.725 berbanding dolar AS yang dicatatkan pada akhir Mac.” katanya.
Beliau berkata, perubahan turun naik dalam kadar pertukaran mencerminkan perkembangan keadaan ekonomi dan faktor luaran yang mempengaruhi penilaian ringgit terhadap dolar AS dalam tempoh itu.
“Beberapa faktor telah mempengaruhi prestasi semasa ringgit. Ringgit kekal di bawah nilai yang ketara, manakala dolar AS mengekalkan daya tarikannya sebagai mata wang lindung nilai berikutan persekitaran kadar faedah AS yang agak tinggi berbanding Malaysia,” katanya. – UTUSAN










