OPR kekal 3.0 peratus - BNM - Utusan Malaysia

OPR kekal 3.0 peratus – BNM

Bank Negara Malaysia (BNM) mempertingkatkan daya saing pasaran kewangan Malaysia di samping menarik lebih ramai pelabur untuk melabur dalam negara. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus, sekali gus menepati jangkaan penganalisis ekonomi.

Kali terakhir BNM menaikkan OPR adalah daripada 2.75 peratus kepada 3.0 peratus pada Mei tahun lalu.

Bank pusat berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan.

BNM berkata, ekonomi global terus berkembang berikutan pasaran pekerja yang berdaya tahan di beberapa negara dan pemulihan perdagangan global yang berterusan.

Katanya, pada masa hadapan, pertumbuhan global dijangka berkekalan kerana rintangan daripada dasar monetari yang ketat dan sokongan fiskal yang berkurang akan disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif serta inflasi yang terus menurun.

“Perdagangan global dijangka terus kukuh berikutan peningkatan kitaran teknologi yang berterusan.

“Walaupun inflasi keseluruhan dan inflasi teras global terus menurun pada bulan-bulan kebelakangan ini, kadar disinflasi telah menjadi perlahan di beberapa ekonomi maju.

“Hal ini meningkatkan prospek kadar faedah untuk kekal tinggi bagi masa yang lebih lama, khususnya di Amerika Syarikat (AS),” ujarnya.

Tambahnya, prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan, disebabkan terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan volatiliti dalam pasaran kewangan global.

Bagi ekonomi Malaysia, BNM berkata, penunjuk terkini mencatatkan aktiviti ekonomi yang lebih giat pada suku pertama tahun 2024.

“Hal ini didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dan pemulihan eksport yang positif.

“Pada masa hadapan, momentum pemulihan eksport dijangka bertambah baik, disokong kitaran menaik teknologi global serta eksport barangan bukan elektrik dan elektronik yang terus kukuh. Ketibaan dan perbelanjaan pelancong juga dijangka terus meningkat.

“Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah,” jelasnya.

BNM berkata, aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang sedang dijalankan, pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional serta lebih banyak pelaburan yang diluluskan kini direalisasikan.

Mesyuarat MPC seterusnya dijadualkan pada 10 dan 11 Julai 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×