MAVCOM batalkan lesen perkhidmatan My Jet Xpress Airlines - Utusan Malaysia

MAVCOM batalkan lesen perkhidmatan My Jet Xpress Airlines

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) syarikat penerbangan kargo berjadual, My Jet Xpress Airlines Sdn. Bhd. (My Jet) berkuat kuasa 2 Mei 2024.

Ia berikutan pembatalan Perakuan Pengendali Udara (AOC) No. 40 My Jet oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Menurut kenyataannya, pembatalan ASL itu dibuat menurut subseksyen 43 (3) Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 [Akta 771].

“Akta itu mengariskan ASL yang dikeluarkan oleh MAVCOM hendaklah disifatkan telah dibatalkan berkuat kuasa mulai tarikh pemegang ASL terhenti daripada memegang AOC,” katanya.

Jelasnya, My Jet dilarang membawa mel atau kargo melalui udara atau menggunakan mana-mana pesawat sewa atau upah dalam perjalanan berjadual mahupun tidak berjadual.

Katanya, larangan itu terpakai bagi laluan domestik atau antarabangsaa dan ia merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 771 jika melanggarnya.

Pada 9 September 2021, MAVCOM meluluskan pembaharuan ASL My Jet dengan ditetapkan syarat-syarat tertentu selama 48 bulan dari 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2025 yang perlu dipatuhi oleh syarikat penerbangan tersebut.

Bagaimanapun, pada 5 Julai 2023, MAVCOM mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada My Jet mengenai ketidakpatuhan syarikat penerbangan tersebut terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan kepada ASL.

“Suruhanjaya mengambil tindakan selanjutnya pada 1 November 2023 dengan penggantungan ASL My Jet bagi tempoh enam bulan berkuat kuasa serta-merta sehingga 30 April 2024,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, industri penerbangan dipenuhi dengan cabaran dan hanya syarikat yang mempunyai asas dan pengetahuan komersial yang mendalam boleh mengekalkan operasi jangka panjang.

“Proses penilaian Suruhanjaya amat teliti dalam menilai dan menyemak semua permohonan lesen atau permit berdasarkan kriteria tertentu serta berusaha memastikan hanya syarikat yang memenuhi kriteriatersebut dibenarkan beroperasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya