KUALA LUMPUR: Malaysia mampu mencapai sasaran pertumbuhan antara 4.0 hingga 5.0 peratus tahun ini, setelah menyaksikan kenaikan 4.2 peratus dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku tahun pertama 2024.
Prestasi ekonomi bulanan masing-masing meningkat sebanyak 4.8 peratus dan 5.0 peratus untuk Januari dan Februari, sebelum tumbuh perlahan kepada 2.9 peratus pada Mac 2024.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Resheed Gahoffour berkata, pertumbuhan lebih pantas pada suku pertama 2024 didorong oleh perbelanjaan swasta dan pemulihan dalam eksport.
Katanya, dalam tempoh tersebut, perbelanjaan swasta tumbuh 4.7 peratus berbanding 4.2 peratus pada suku sebelumnya, disokong oleh perbelanjaan budi bicara dan untuk keperluan.
Selain itu, eksport bersih menyaksikan penguncupan lebih perlahan pada -24.5 peratus berbanding -52.9 peratus pada suku keempat 2024 di tengah-tengah pemulihan dalam eksport barangan dan perkhidmatan.
“Pertumbuhan tahun ini bakal disokong oleh pengembangan berterusan permintaan dalam negeri dan peningkatan dalam permintaan luaran.
“Pada masa sama, tinjauan pertumbuhan tertakluk kepada risiko daripada perkembangan luaran dan faktor domestik,” katanya dalam sidang akhbar Prestasi ekonomi suku pertama 2024 di sini, semalam.
Sementara itu, BNM berkata, prospek pertumbuhan terus cenderung ke arah pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik yang kian meruncing dan pengeluaran komoditi dalam negeri yang berkurang dengan lebih banyak.
“Meskipun begitu, terdapat risiko pertumbuhan lebih tinggi yang berpunca daripada limpahan peningkatan yang lebih besar kitaran teknologi, aktiviti pelancongan yang lebih memberangsangkan dan pelaksanaan projek pelaburan sedia ada dan baharu yang lebih cepat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pada tahun ini, inflasi keseluruhan dijangka pada 2.0 peratus hingga 3.5 peratus dan inflasi teras antara 2.0 hingga 3.0 peratus
“Hal ini secara amnya mencerminkan permintaan yang semakin stabil dan tekanan kos yang terkawal, bersama-sama dengan kemungkinan inflasi meningkat yang berpunca daripada pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api.
“Prospek sepanjang tahun 2024 bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga, serta perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan,” katanya. – UTUSAN









