Kerajaan peruntuk RM53 juta kepada pekebun industri lada

Kerajaan peruntuk RM53 juta kepada pekebun industri lada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM53 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk memberi bantuan kepada pekebun dalam industri lada.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Chan Foong Hin berkata, bantuan itu diberi melalui Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Projek Pengeluaran Lada Premium (PPLP).

“Skim-skim ini ditawarkan kepada pekebun yang layak bagi meringankan beban kos ditanggung dan menggalakkan mereka menghasilkan lada berkualiti dengan kuantiti lebih tinggi,” katanya selepas Perasmian Majlis Penutupan Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024, di sini.

Foong Hin berkata, seramai 4,914 penerima bantuan telah mendapat manfaat daripada skim STLB dengan keluasan dibantu seluas 675.7 hektar sepanjang 2021 sehingga April 2024.

“Nilai bantuan keseluruhan untuk skim STLB dalam tempoh yang dinyatakan adalah berjumlah RM26.6 juta,” katanya.

Selain itu, menurutnya, seramai 8,257 pekebun pula telah menikmati manfaat daripada STLM yang melibatkan keluasan 1,376 hektar dengan nilai bantuan keseluruhan dalam tempoh itu berjumlah RM24.4 juta.

“Kerajaan menyedari potensi memberansangkan terhadap lada berkualiti premium pada masa ini.

“Oleh itu, Lembaga Lada Malaysia (MPB) sedang melaksanakan projek PPLP di bawah RMK-12 peruntukkan sebanyak RM3 juta untuk memastikan usaha ini berjaya,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM5 juta bagi membantu usahawan bimbingan melalui pemberian mesin dan kursus-kursus agropreneur dan keusahawanan.

“Usaha itu bagi meningkatkan penglibatan usahawan hiliran yang berdaya saing, berinovasi dan dinamik dalam penghasilan produk hiliran lada,” katanya.

Mengulas mengenai eksport industri lada pada tahun lalu, beliau berkata, Malaysia mengeksport 5.8 ribu tan lada dengan nilai sebanyak RM149 juta, menurun berbanding 6.7 juta tan dengan nilai RM180 juta pada tahun sebelumnya.

Bagaimanapun, katanya, statistik tahun lalu menunjukkan penggunaan lada dunia kira-kira 291,000 tan metrik, iaitu peningkatan sekitar 40,000 tan metrik berbanding 251,000 tan metrik tahun sebelumnya.

Tambahnya, Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia dengan pengeluaran sekitar 31 ribu tan pada 2023 di belakang Vietnam, Brazil, India dan Indonesia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN