Kemas kini data penyewa

Kemas kini data penyewa pastikan golongan yang betul memerlukan

KERAJAAN komited untuk melaksanakan lebih banyak projek perumahan rakyat pada tahun hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAS KINI data penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) setiap masa penting bagi memastikan golongan yang sudah naik taraf hidup tidak terus menerima manfaat yang sepatutnya diperoleh orang yang benar-benar memerlukan.

Ini bagi memastikan isu untuk memiliki rumah dapat ditangani dengan baik dan dapat membangunkan model perumahan oleh kerajaan yang lebih mampan.

Menurut pekerja swasta, Siti Nadia Omar, 37, perumahan yang disediakan oleh kerajaan perlulah ditawarkan untuk golongan yang benar-benar memerlukan.

Katanya, jika seseorang itu sudah berjaya menaik taraf kehidupan mereka, maka manfaat yang telah diterimanya perlulah diberi kepada orang lain pula untuk menaik taraf hidup mereka.

“Orang yang berada di PPR adalah kerana ekonomi mereka masih belum baik. Kalau mereka masih tidak berkemampuan maka benarkan mereka terus tinggal di situ.

“Saya rasa sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dapat digunakan untuk mengemas kini data-data ini.

“Jika seseorang itu sudah berjaya memperbaiki taraf hidup, berilah peluang kepada orang lain pula untuk merasa tinggal di rumah tersebut,” katanya kepada Utusan di sini, baru-baru ini.

Siti Nadia yang tinggal di rumah keluarga dan belum lagi berkemampuan untuk membeli rumah sendiri mengakui harga rumah yang tinggi ketika ini menjadi kekangan kepada ramai orang memiliki rumah impian.

“Dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi ketika ini, sewa rumah PPR adalah pilihan yang berpatutan kepada golongan yang betul-betul memerlukan,” ujarnya.

Sementara itu, pekerja swasta, Muhammad Muzzammil Faizal, 37, berkata, kemas kini data penyewa PPR mungkin boleh dibuat dalam beberapa tahun sekali bagi mengetahui taraf hidup semasa penyewa.

Walaupun mengakui ada golongan yang tinggal di PPR yang berjaya meningkatkan taraf hidup, ujarnya, masih ada lagi yang tinggal di situ yang kurang berkemampuan untuk menyewa atau membeli rumah pada harga pasaran semasa.

“Untuk menjadikan semua rumah PPR sebagai sewa dan tiada peluang untuk membeli mungkin tidak boleh dilaksanakan secara keseluruhan.

“Oleh itu, penting untuk menilai taraf hidup sesetengah penyewa kerana bagi sesetengah pihak, rumah PPR itu sahaja yang mampu dibelinya dengan gaji yang dia ada,” ujarnya.

Dia yang tinggal di Seremban berkata, harga rumah kini semakin mahal dan mengambil contoh harga rumah dua tingkat di Seremban 2 ada mencecah RM700,000 ketika ini.

“Bagi saya harga rumah itu agak tinggi kerana di Seremban 2 pun harga rumah sudah mencecah RM700,000,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perlu ada pembaharuan dalam pembiayaan pemilikan rumah. 

“Seeloknya guna sistem yang sudah terbukti berkesan iaitu sistem sewa beli mengikut konsep Islam iaitu musharakah mutanaqisah yang tidak akan membebankan pembeli,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×