PETALING JAYA: Indeks Pelopor (IP) terus meningkat 2.3 peratus pada Mac 2024, mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang optimis dalam masa terdekat, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan yang ketara dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, IP kekal dalam pertumbuhan positif selama empat bulan berturut-turut, mencatatkan kenaikan 2.3 peratus kepada 112.2 mata pada Mac 2024 berbanding 109.7 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Peningkatan ini didorong oleh prestasi Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (25.4 peratus) dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (24.8 peratus) yang kukuh.
“Sementara itu, perubahan bulanan IP menyusut 0.5 peratus, berikutan prestasi yang kurang memberangsangkan oleh bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (-0.7 peratus) dan import benar semikonduktor (-0.4 peratus),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Mac 2024 adalah konsisten di atas trend, melepasi 100.0 mata, menggambarkan ekonomi Malaysia yang optimis selari dengan prestasi penggunaan swasta dan pemulihan perdagangan luar.
Bagi kedudukan ekonomi semasa, beliau berkata, Indeks Serentak (IS) mengekalkan pertumbuhan positifnya dengan mencatatkan 125.0 mata, meningkat 2.3 peratus berbanding 122.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
“Empat komponen menyumbang secara positif kepada kenaikan terkini terutamanya caruman nyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 19.6 peratus.
“Pada masa yang sama, perubahan bulanan IS juga mencatatkan peningkatan 0.6 peratus disumbangkan oleh kesemua komponen kecuali jumlah guna tenaga dalam pembuatan (-0.1 peratus),” ujarnya.-UTUSAN









