PETALING JAYA: Feytech Holdings Bhd (Feytech Holdings) menyasarkan meraih hasil kasar sebanyak RM114.66 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) membabitkan terbitan 143.3 juta saham baharu pada harga 80 sen sesaham
Menurut prospektus Feytech Holdings yang akan diterbitkan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad pada 21 Mei 2024, syarikat dijangka mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM674.56 juta dengan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 843.2 juta.
Feytech Holdings telah memperuntukkan 10.1 peratus daripada hasil untuk membiayai sebahagian daripada pemerolehan tanah di Lembah Klang dan 18.4 peratus untuk pembinaan pejabat korporat baharu dengan kilang pembuatan dan gudang, dengan keluasan kira-kira 85,000 kaki persegi.
Kumpulan juga berhasrat untuk menempatkan semula semua operasi sedia ada di Petaling Jaya ke pejabat korporat baharu ini dengan kilang pembuatan dan gudang setelah siap pembinaannya.
“Dalam pada itu, 16.4 peratus daripada hasil IPO akan digunakan untuk membina kilang pembuatan baharu, gudang, bangunan pejabat tambahan dan asrama kakitangan.
“Ini akan dibina di atas sebahagian tanah perindustrian kosong di Pekan Sungai Karangan, Kulim, Kedah, (Loji Kulim 2) dengan jumlah anggaran keluasan binaan 84,000 kaki persegi.
“Kumpulan juga akan menggunakan 2.6 peratus daripada hasil IPO untuk membeli mesin baharu yang termasuk 75 mesin jahit, mesin pemotong kulit automatik dan mesin corak serta 45.5 peratus untuk membeli bahan dan bekalan serta modal kerja am,” katanya.
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Feytech, Connie Go berkata, pihaknya berada bidang automotif selama lebih dua dekad dan telah berkembang dan sektor hiliran ke dalam pembuatan tempat duduk automotif sejak 2021.
Katanya, ini membolehkan syarikat menyediakan rangkaian pelengkap perkhidmatan untuk mengeluarkan kedua-dua tempat duduk dan penutup automotif kepada pengeluar produk tulen (OEM) kenderaan automotif.
“Ini telah membolehkan kami mengembangkan pangkalan pelanggan kami untuk bukan sahaja menyasarkan OEM kenderaan automotif dan tempat duduk automotif peringkat 1 dan/atau pengeluar bahagian dalaman, tetapi juga pengedar automotif, pengedar kereta terpakai, pemilik kereta dan lain-lain,” katanya pada pelancaran prospektus tersebut di sini, semalam.
Bahagian terbitan awam IPO akan disediakan bermula semalam dan permohonan akan ditutup pada hari Rabu, 8 Mei 2024 pada pukul 5 petang.
TA Securities ialah penasihat utama, penaja jamin urusan, penaja jamin bersama dan ejen penempatan, manakala dan AmInvestment Bank ialah penaja jamin Bersama dan ejen penempatan bersama untuk IPO tersebut.-UTUSAN










