Farm Fresh catat untung bersih tertinggi, RM23.9 juta - Utusan Malaysia

Farm Fresh catat untung bersih tertinggi, RM23.9 juta

ANTARA produk tenusu dengan jenama Farm Fresh. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keuntungan bersih Farm Fresh Berhad (Farm Fresh) bagi suku keempat berakhir 31 Mac 2024 melonjak lima kali ganda kepada RM23.9 juta berbanding RM4.8 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee berkata, bagi suku dalam tinjauan, Farm Fresh menunjukkan hasil bernilai RM215 juta, yang mewakili peningkatan sebanyak 33.3 peratus berbanding suku keempat 2023.

“Kumpulan mencatatkan lonjakan 450.7 peratus dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM24.8 juta, sementara 435.1 peratus peningkatan dalam keuntungan selepas cukai (PAT) kepada RM24 juta,” katanya.

Katanya, untuk setahun penuh, Farm Fresh merekodkan hasil tertinggi sepanjang masa sebanyak RM810.4 juta, sekali gus menandakan pertumbuhan sebanyak 28.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Keputusan keseluruhan yang menggalakkan ini disebabkan oleh kejayaan pengenalan produk baharu seperti Yarra oleh Farm Fresh dan Farm Fresh Grow.

“Jumlah jualan yang lebih tinggi daripada saluran pengedaran hotel, restoran dan kafe (HORECA) dan UHT produk, serta sumbangan daripada Inside Scoop Sdn.Bhd. dan Sin Wah Ice Cream Sdn. Bhd. turut mendorong kepada pertumbuhan itu.

“Pengurangan kos bahan mentah tenusu dan kenaikan harga produk sedia untuk diminum (RTD) dan produk UHT tertentu di Malaysia berkuat kuasa Julai 2023 terus menyokong peningkatan keuntungan syarikat,” katanya.

Beliau berkata, Farm Fresh kini sedang giat mengembangkan kategori produk syarikat itu dengan membina kejayaan pemakanan kanak-kanak, Farm Fresh Grow.

“Kami juga menjangkakan momentum ini akan berterusan berikutan pelancaran tidak lama lagi aiskrim barangan pengguna (CPG) kami yang dijadualkan untuk dilancarkan pada akhir Julai atau Ogos 2024.

“ Selain itu, kami juga merancang untuk menghasilkan susu kultur pada bulan-bulan akan datang yang akan memperluaskan lagi penawaran produk Farm Fresh,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, kumpulannya bersiap sedia untuk pengembangan perniagaan ke Filipina, yang mana operasi kilang di negara itu dijangka beroperasi menjelang Julai tahun ini.

“Farm Fresh kekal berdedikasi kepada agenda rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG )kumpulan itu, yang mana kajian membuat kemajuan yang ketara melalui permulaan operasi loji biogas telah bermula pada April 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN