Ekuinas labur RM37 juta dalam pemaju jentera industri minyak sawit - Utusan Malaysia

Ekuinas labur RM37 juta dalam pemaju jentera industri minyak sawit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) melabur sebanyak RM37 juta dalam Mizou Holdings Sdn Bhd (Mizou), sebuah syarikat bumiputera yang berfokus kepada pembangunan jentera perindustrian bagi industri minyak sawit.

Ini menandakan pelaburan kedua bagi Ekuinas di bawah Dana Asas yang berjumlah RM100 juta, yang memberi tumpuan kepada syarikat-syarikat peringkat pertengahan dengan pertumbuhan tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Datuk Syed Yasir Arafat Syed Abd Kadir berkata, melalui pelaburan tersebut, Ekuinas berpeluang membangunkan sektor perladangan bersama Mizou.

Katanya, syarikat tersebut menawarkan penyelesaian inovatif khususnya bagi industri minyak sawit huluan dengan peluang untuk berkembang dan menyokong bidang pertanian lain.

“Kami amat menghargai visi, keupayaan dan kesungguhan para pengasas syarikat untuk meningkatkan produktiviti rantaian nilai ladang kelapa sawit huluan dan kami bangga dapat turut serta di dalam usaha ini bersama Mizou.

“Permintaan pasaran semakin kukuh untuk penjenteraan dalam industri tempatan dan serantau memandangkan keupayaan dan impak jentera-jentera dalam meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos pengeluaran.

“Kejayaan Mizou mengkomersialkan traktor-traktor ciptaan mereka dan sokongan daripada syarikat-syarikat peneraju dalam industri perladangan kelapa sawit mencerminkan kemampanan produk dan juga perniagaan Mizou dan ini mengunjurkan prospek masa depan yang cerah bagi Mizou,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Mizou, Shamshuri Abdul Majid berkata, pelaburan ini akan membolehkan syarikat mengukuhkan kedudukan sebagai peserta yang mengkhusus dalam tawaran jentera perladangan kelapa sawit yang sesuai untuk semua permukaan tanah atau ladang kelapa sawit.

“Keperluan sektor minyak sawit sentiasa berubah, kami mengambil peluang dalam peralihan atau trend ke arah penjenteraan dan peralatan mekanikal yang diperlukan oleh peserta perladangan tempatan dan asing,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya