KUALA LUMPUR: Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 merekodkan perolehan sebanyak RM64 bilion pada 2023, sekali gus melepasi sasarannya dua tahun lebih awal.
Sebelum ini, DaKoM 2030 menyasarkan perolehan sebanyak RM60 bilion pada 2025 dan RM73 bilion pada 2030 menerusi empat teras dasar dan 20 strategi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedick berkata, DaKoM berhasil mencapai salah satu sasaran KPI di dalam dasarnya itu dengan cepat dalam tempoh dua tahun awal sahaja.
“Kita (DaKoM) juga mengharapkan lebih ramai rakyat terus menganggotai dan melibatkan diri dalam gerakan koperasi supaya dapat melonjakkan lagi perolehan koperasi di tahun-tahun mendatang,” katanya semasa Mesyuarat Majlis Perundingan Koperasi Kebangsaan (MPKK) Bilangan 1/2024, di sini, semalam.
Sementara itu, Ewon berkata, mesyuarat yang diadakan itu akan memfokuskan hala tuju pembangunan gerakan koperasi negara.
“Ia turut bertujuan meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri,” ujarnya.
Katanya, beberapa kerajaan negeri telah memberikan sokongan dalam memberikan insentif kepada gerakan koperasi.
“Kerajaan negeri Johor telah memperuntukkan insentif sebanyak RM300,000 dengan sasaran sebanyak 20 koperasi.
” Ia diikuti oleh kerajaan negeri Perak sebanyak RM620,000 dengan sasaran lebih 100 koperasi akan menerima manfaat,” katanya.
Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri Melaka turut memperuntukkan insentif sebanyak RM100,000 dengan mensasarkan 15 koperasi. – UTUSAN










