PETALING JAYA: Agrobank menyampaikan Takaful Kasih Plus 3 yang bernilai RM10 juta kepada 200 asnaf miskin.
Sumbangan Takaful Kemalangan Pelanggan ini merupakan tajaan daripada Tetuan Ikbal Salam & Associates kepada enam wakil penerima bagi pihak asnaf dalam satu majlis yang diadakan di Senai, Johor.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, Pelan Takaful Kemalangan Pelanggan itu memberi manfaat kepada penerima jika berlaku kecemasan atau musibah kematian.
“Ia juga membantu waris untuk mengurangkan kos kewangan yang perlu ditanggung,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkhidmatan kewangan mampu milik itu dapat membantu semua lapisan masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah mendapat perlindungan takaful dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa hadapan.
“Kami berharap lebih banyak pelanggan komersial dan syarikat korporat yang sering berurusan dengan Agrobank dapat berkongsi rezeki dengan menaja pihak yang memerlukan melalui produk-produk Agrobank,” ujarnya.
Majlis penyerahan kad replika Takaful Kemalangan Pelanggan telah disempurnakan oleh wakil kepada Datuk Ikbal Salam dan Pengarah Wilayah Melaka/Johor, Md. Yasin A. Hamid.
Pelan Perlindungan Kemalangan Diri Takaful Kasih Plus menawarkan manfaat kematian akibat kemalangan, hilang upaya kekal, perbelanjaan pengebumian, perbelanjaan perubatan dan elaun hospital. – UTUSAN











