PETALING JAYA: Yayasan Zetrix dan MYEG Services Berhad (MYEG) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama MaiCapital bagi melancarkan dana aset maya atau produk dana didagangkan di bursa (ETF) aset maya Hong Kong, hari ini.
Pengarah Urusan MYEG, TS Wong berkata, perkongsian itu dilakukan bagi menandakan satu lagi capaian penting untuk mengintegrasikan aset digital ke dalam kewangan utama.
Ujarnya, dorongan ini adalah untuk meletakkan Zetrix sebagai infrastruktur blok rantai terhadap pilihan aplikasi yang sejajar dengan objektif kerajaan Hong Kong.
“Kerjasama ini susulan pengumuman Zetrix yang dibangunkan MYEG tentang perikatan strategik dengan Web3Labs Hong Kong, sebuah kuasa besar dalam pembangunan dan pelaburan Web3, bersama firma modal teroka Summer Capital.
“MoU ini juga turut memberi tumpuan bagi menerbitkan ETF yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (SFC) terdiri daripada Zetrix, Bitcoin dan beberapa kumpulan mata wang kripto,” jelasnya.
Beliau berkata, tindakan ini turut dapat menyediakan perkhidmatan dana aset maya dengan memperluaskan penawaran pelaburan dalam mata wang kripto atau pilihan aset maya.
“Dengan ini, ia akan memberi pelaburan jalan tambahan untuk diversifikasi melintasi beberapa mata wang kripto di samping dapat mengurangkan risiko dan ketidakstabilan yang berkaitan dengan mata wang kripto tunggal,” ujarnya.
Dalam pada itu, rakan kongsi pengurusan Maicapital Limited, Marco Lim berkata, kerjasama ini adalah bukti bahawa Hong Kong menerima teknologi Web3 dan meletakkan dirinya sebagai hab untuk inovasi dalam ruang ini membuahkan hasil.
“VA ialah bahagian penting dalam ekosistem Web3 yang bertenaga, dan semakin ramai pemain Web3 terkemuka mengiktiraf pendirian Hong Kong yang progresif lagi berhemat mengenai Web3,” tambahnya. – UTUSAN










