PETALING JAYA: UOB Malaysia melancarkan The Business Circle di Malaysia, inisiatif perintis yang membantu pemimpin generasi akan datang syarikat diterajui keluarga di Asia, bersiap sedia menjalankan perniagaan dan mempercepatkan pertumbuhan.
Mula diperkenalkan di Singapura pada 2019 dan Thailand 2023, The Business Circle kini mempunyai komuniti terdiri daripada lebih 1,000 perniagaan yang dikendalikan keluarga, iaitu daripada syarikat korporat besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh rantau, termasuk Malaysia.
Sebagai ahli The Business Circle, peserta mendapat akses eksklusif kepada pertukaran pengetahuan, peluang perangkaian (networking) di seluruh rantau untuk kemungkinan bekerjasama, dan juga sokongan kewangan yang tersuai daripada Bank.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei, perniagaan keluarga membentuk lebih 60 peratus daripada syarikat tersenarai awam dan bahagian lebih besar daripada syarikat swasta di ASEAN, memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi yang berterusan di Malaysia dan rantau ini.
“Dengan The Business Circle, kami berhasrat untuk memanfaatkan jejak dan kepakaran serantau UOB yang luas sebagai menyediakan platform untuk bertukar-tukar pengetahuan serta peluang perangkaian (networking) merentas sempadan dan industri bagi pemimpin generasi akan datang syarikat diterajui keluarga di Malaysia.
“Ini adalah bagi memastikan generasi muda dilengkapi dengan pengetahuan, keupayaan dan kenalan yang dapat membantu membawa perniagaan mereka ke tahap lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan.
Sempena pelancaran The Business Circle di Malaysia, UOB telah mengatur program dua hari untuk membolehkan pembelajaran antara rakan setara, perkongsian pengetahuan dan perangkaian.
Program itu merangkumi Lawatan Industri pada 26 Mac lalu, Forum Pembelajaran Eksekutif dan Majlis Makan Malam Pelancaran (27 Mac), yang memberi tumpuan kepada pemacu perniagaan kritikal masa kini – Kemampanan, Pengembangan Serantau dan Pendigitalan.
WEi Wei berkata, setelah lama bekerjasama dengan perniagaan merentas generasi, UOB memahami bahawa setiap generasi pemimpin menghadapi set cabaran yang berbeza.
“Pelanggan kami, yang merupakan ketua atau pengasas perniagaan keluarga, ingin memastikan bahawa pengganti mereka berupaya memacu pertumbuhan dan kemampanan, menangani cabaran, dan pada masa yang sama, masih mengekalkan legasi perniagaan.
“Memandangkan ini, ramai peserta merakamkan penghargaan mereka terhadap inisiatif The Business Circle kerana ia memberi peluang eksklusif kepada pemimpin generasi akan datang untuk belajar daripada pemimpin perniagaan yang berjaya selain berkenalan dengan rakan setara tempatan dan serantau yang berada di landasan sama seperti mereka,” katanya. – UTUSAN










