PETALING JAYA: Platform pelancongan dalam talian terkemuka, Trip.com telah menyaksikan lonjakan luar biasa sepanjang tempoh perayaan Hari Raya Aidilfitri bagi perjalanan domestik dan antarabangsa, menonjolkan pemulihan ketara dalam industri pelancongan Malaysia.
Berdasarkan data bermula 9 April hingga 13 April lalu, dari segi jumlah tempahan keseluruhan, Kuala Lumpur menyaksikan peningkatan luar biasa 113 peratus tahun ke tahun, manakala, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu mengalami pertumbuhan yang ketara tahun ke tahun masing-masing pada 62 peratus dan 89 peratus.
Pengurus Besar, Trip.com Malaysia, Stephane Thong, berkata, pihaknya teruja apabila menyaksikan pertumbuhan yang luar biasa dalam tempahan perjalanan Malaysia semasa tempoh Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
“Angka-angka yang dipaparkan ini bukan sahaja mencerminkan daya tahan industri pelancongan tetapi juga menunjukkan permintaan yang semakin meningkat oleh pengguna untuk keluar melancong.
“Kami tetap komited untuk menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar kepada pelanggan dan berusaha untuk meneruskan misi menyediakan perjalanan serta pengalaman yang tidak dapat dilupakan di Malaysia kepada pelancong,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, tempoh Hari Raya tahun ini menyaksikan lonjakan permintaan perjalanan yang luar biasa, terutamanya dalam pertumbuhan tempahan penerbangan yang kukuh di destinasi utama Malaysia.
“Tempahan penerbangan domestik ke Kuala Lumpur menyaksikan peningkatan sebanyak 99 peratus berbanding tempoh Hari Raya tahun lalu.
“Begitu juga dengan tempahan penerbangan domestik ke Pulau Pinang melonjak sebanyak 131 peratus manakala, Kota Kinabalu mengalami peningkatan sebanyak 81 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, trend peningkatan perjalanan yang dibuat oleh orang ramai diteruskan dengan lancar dalam tempahan hotel yang menyerlahkan semangat holistik pelancong untuk bersantai dan berehat.
“Tempahan hotel domestik Trip.com untuk Kuala Lumpur meningkat sebanyak 57 peratus dan Pulau Pinang pula mengalami peningkatan sebanyak 24 peratus, manakala, Kota Kinabalu menyaksikan lonjakan sebanyak 62 peratus.
“Tempahan hotel antarabangsa ke Malaysia dari Singapura meningkat sebanyak 69 peratus. Rekod ini seterusnya menekankan tarikan negara Malaysia sebagai destinasi pelancong serantau serta tempahan hotel dari Indonesia juga melonjak sebanyak 316 peratus,” katanya.
Dari segi jualan, Nilai Dagangan Kasar (GMV) untuk semua tempahan mempamerkan pertumbuhan memberangsangkan dan seterusnya menjadi bukti bahawa suasana perjalanan Malaysia yang berkembang pesat semasa tempoh Hari Raya Aidilfitri.
“GMV Kuala Lumpur meningkat sebanyak 117 peratus dan memperkukuh kedudukannya sebagai penjana hasil utama dalam sektor pelancongan. Pulau Pinang menyaksikan lonjakan besar GMV sebanyak 78 peratus, manakala, Kota Kinabalu mengalami peningkatan sebanyak 162 peratus.
“Pertumbuhan ini mencerminkan ekonomi pelancongan yang memberangsangkan di rantau ini. Malaysia pula secara keseluruhannya menyaksikan lonjakan yang luar biasa dalam GMV sebanyak 97 peratus. Lonjakan ini menggariskan kejayaan kolektif industri pelancongan di seluruh negara,” katanya. – UTUSAN










