‘AI keperluan industri pelancongan, bukan lagi pilihan’

‘AI keperluan industri pelancongan, bukan lagi pilihan’

WONG Hon Wai (tengah) ketika melakukan gimik perasmian Penang Digitalisation Al Conference and Exhibition di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Penggiat industri pelancongan di Pulau Pinang disaran memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam operasi dan pemasaran digital bagi meningkatkan daya saing dan menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, penggunaan AI bukan lagi satu pilihan, sebaliknya menjadi keperluan yang perlu diadaptasi semua pemain industri selaras dengan perkembangan teknologi global.

Katanya, teknologi AI kini digunakan secara meluas dalam industri pelancongan dunia termasuk bagi perkhidmatan hotel, pemasaran digital serta cadangan destinasi dan premis makanan kepada pelancong.

“Pengusaha hotel, restoran dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS) perlu memperkukuh strategi pemasaran digital dengan memanfaatkan platform berasaskan AI supaya perniagaan mereka lebih mudah ditemui pelanggan,” katanya selepas merasmikan Penang Digitalisation Al Conference and Exhibition di sini, hari ini.

Hon Wai berkata, kedudukan Pulau Pinang dalam senarai Michelin Guide meletakkan negeri itu sebagai antara destinasi makanan bertaraf dunia yang menjadi pilihan pelancong antarabangsa.

“Di Malaysia, hanya Kuala Lumpur dan Pulau Pinang berada dalam Michelin Guide. Ini menjadikan Pulau Pinang semakin dikenali di peringkat antarabangsa sebagai syurga makanan.

“Selain itu, pelancong dari China pula banyak menggunakan aplikasi Dazhong Dianping yang turut memanfaatkan teknologi AI untuk mendapatkan cadangan restoran dan destinasi makanan.

“Justeru, pengusaha restoran dan kedai makan perlu memastikan perniagaan mereka mempunyai kehadiran digital yang kukuh agar lebih mudah ditemui menerusi platform-platform ini,” katanya.

Kerangka khas perlu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan, masyarakat dan pemain industri menyesuaikan diri dengan revolusi AI.

Katanya, kerajaan negeri juga akan terus meneroka pelbagai penyelesaian digital dan AI bagi memperkukuh ekosistem pelancongan serta memastikan Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pilihan pelancong dunia. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN