PETALING JAYA: Saham global susut, manakala harga minyak dan emas melonjak selepas laporan Israel menyerang Iran pada Jumaat, sebagai serangan balas kepada musuhnya itu.
Sehingga berita ini ditulis, emas naik 0.4 peratus pada AS$2,388.32 (RM11,407.9) setiap auns, melonjak seketika setinggi AS$2,417.59 (RM11,547.3) pada awal sesi.
Harga mencecah paras tertinggi sepanjang masa sebanyak AS$2,431.29 (RM11,613.2) minggu lepas.
Mata wang yang selamat adalah yen dan franc Switzerland yang didagangkan lebih tinggi.
Harga minyak melonjak AS$3 (RM14.3) setong berikutan kebimbangan bahawa bekalan minyak Asia Barat yang boleh terganggu.
Namun, ia kemudian mengurangkan selepas Iran berkata, mereka tidak merancang untuk membalas dendam serta-merta, menafikan bahawa sebarang serangan telah berlaku.
Perbendaharaan AS pula meningkat, mengurangkan hasil pada bon 10 tahun penanda aras kepada 4.5899 peratus.
Bagaimanapun, ringgit dilihat tidak begitu berubah dan ditutup pada 4.7810/4.7850 berbanding dolar AS, daripada 4.7810/4.7860 semasa penutupan Khamis.
Bursa Malaysia pula meningkat kepada 0.18 peratus kepada 1,547.57 mata ketika ditutup pada pukul 5 petang semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof Dr Syed Azizi Wafa Syed Khalid Wafa berkata, prestasi Bursa Malaysia dan antarabangsa akan merundum lebih teruk,kesan serangan itu.
Katanya, Iran pula akan membalas balik serangan itu secara lebih ganas lagi dari sebelum ini.
Katanya, tindakan tersebut akan mendorong kepada penutupan laluan Straits of Hormuz dan laluan minyak utama dari negara-negara Asia Barat, seterusnya mendorong harga minyak akan melonjak ke paras yang belum pernah dunia sebelum ini.
“İni akan menyebabkan semua pasaran saham terutamanya yang mengimport minyak dengan banyak jatuh ke paras terendah dalam abad ini.
“Harga emas akan melonjak lagi kerana inilah satunya pelaburan yang selamat pada masa ini.
“Dunia menghadapi peperangan yang mungkin pada akhirnya termasuk Russia-Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan boleh menjadi peperangan dunia ketiga,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, faktor geopolitik di Asia Barat akan terus mempengaruhi pasaran saham dunia.
“Senario yang buruk jika perkara ini berterusan adalah pasaran saham New York akan jatuh dan seterusnya memberi kesan pada pasaran saham dunia yang lain,” ujarnya.-UTUSAN










