PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional, Proton mencatatkan pertumbuhan jualan yang kukuh sebanyak 12,666 unit (domestik dan eksport) pada Mac dan 39,150 unit bagi suku pertama dengan jualan eksport 63 peratus lebih tinggi daripada tahun lepas.
Menurut kenyataannya, setelah mencatat rekod jualan baharu pada 2023, jualan volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan berjumlah 202,492 unit untuk tiga bulan pertama tahun 2024, bersamaan dengan pertumbuhan 5.1 peratus.
Katanya, pegangan pasaran untuk Proton dianggarkan pada 19.3 peratus, kedua tertinggi di antara semua jenama automotif.
“Saga mencatatkan volum suku pertama terbaik sejak 2013 sementara S70 menguasai segmen pasarannya
“Walaupun pelancaran model baharu terus berkembang pesat di Malaysia, permintaan untuk kenderaan yang boleh dipercayai, memuaskan dengan ciri-ciri yang penting pada harga yang mampu milik masih kekal kukuh.
“Jualan Saga membuktikan kenyataan ini dengan 18,247 unit dijual pada tiga bulan pertama tahun ini, prestasi suku pertama tertingginya dalam 12 tahun,” katanya di sini hari ini.
Proton berkata, 5,906 unit Saga telah dijual termasuk 93 unit untuk pasaran eksport pada Mac, meletakkan model itu di tempat kedua dalam pasaran sedan segmen A.
Tambahnya, S70 pula telah membuka segmen pasaran baharu bagi Proton dengan 2,072 unit dijual pada Mac (35 unit eksport) menjadikan jumlah jualan bagi suku pertama 5,828 unit.
“X50 mencapai 1,626 unit, manakala X70 mengalami peningkatan sebanyak 35.5 peratus berbanding bulan sebelumnya dengan 603 unit dijual.
“Kenderaan tenaga baharu (NEV) pertama syarikat, X90, mengekalkan kedudukan kukuhnya di pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen D dengan 326 unit di hantarkan kepada pelanggan pada bulan Mac,” ujarnya.
Proton berkata, jualan Persona sebanyak 1,665 unit pula menjadikan jumlah jualan suku pertama meningkat kepada 5,370, manakala Iriz mencapai 468 unit pada Mac dan 1,534 unit untuk suku tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, suku pertama 2024 berakhir secara positif untuk Proton dan tanpa faktor luaran yang menggalakkan pertumbuhan jualan tahun ini, angka yang dicapai menawarkan bacaan permintaan pasaran yang lebih tepat.
“Industri automotif di Malaysia terus rancak dan ini terbukti dengan pertumbuhan keseluruhan dalam TIV.
“Untuk sepanjang tahun ini, Proton akan mencari pertumbuhan jualan yang berterusan dengan bekerjasama rapat dengan vendor kami untuk menghasilkan lebih banyak unit model terlaris seperti Saga dan S70, sambil terus membina volum jualan eksport.
“Kami yakin dapat memenuhi sasaran pertumbuhan sambil berusaha ke arah komitmen yang lain seperti pembangunan dan pengenalan model kenderaan elektrik (EV) berjenama sendiri pada masa hadapan,” katanya.-UTUSAN










