PETALING JAYA: MSM Malaysia Holdings Bhd. berpeluang mendapat manfaat daripada normalisasi harga siling gula selepas pelaksanaan subsidi bersasar, kata MIDF Research.
Menurut nota penyelidikannya, dengan pelancaran sistem Hab Pangkalan Data Pusat (Padu), kerajaan boleh menyelaraskan bantuan kepada penerima yang layak sambil melaraskan harga siling gula kepada kadar pasaran.
“Inisiatif ini bagi menyokong pemain industri gula seperti MSM dan Central Sugars Refinery Sdn. Bhd. (CSR).
“Ini adalah bagi menangani kerugian margin daripada kos input utama mereka, gula NY11, sambil memastikan keselamatan makanan,” katanya, di ysini, semalam.
MIDF Research menyemak naik unjuran pendapatan MSM sebanyak 20 hingga 25 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 sehingga tahun kewangan 2025, dipacu oleh normalisasi keuntungan yang disokong oleh potensi pertumbuhan volum jualan dalam pasaran eksport.
Firma penyelidikan berkata, peningkatan tersebut disebabkan oleh bekalan jurang dan mekanisme harga hibrid baharu.
MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas MSM dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM4.48, daripada RM3.43 sebelum ini.
Sementara itu, MIDF berkata, tempoh yang buruk telah berakhir untuk MSM, kerana pembaikan di MSM Johor telah selesai.
“Perkembangan ini dijangka membolehkan kumpulan itu meningkatkan aktiviti leburnya dengan menjangkakan peningkatan permintaan di negara-negara Asia Pasifik, didorong oleh isu jurang bekalan,” ujarnya.
Dari awal tahun sehingga kini, MSM telah meningkat lebih 105 peratus kepada paras tertinggi RM3.43 pada 26 Mac sekaligus merupakan paras tertinggi sejak Oktober 2018.-UTUSAN










