MOT perjelas kontrak JPJ kepada HeiTech Padu untuk tempoh tiga tahun - Utusan Malaysia

MOT perjelas kontrak JPJ kepada HeiTech Padu untuk tempoh tiga tahun

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) menjelaskan pemberian kontrak MySikap berjumlah RM190.01 juta yang nilainya didakwa tinggi kepada HeiTech Padu Bhd. (HeiTech Padu) adalah untuk tempoh tiga tahun.

Menterinya, Anthony Loke berkata, nilai tinggi itu disebabkan kos penyelenggaraan yang perlu dilaksanakan dalam tempoh kontrak.

“Itu merupakan kontrak untuk tiga tahun bagi penyelenggaraan perisian dan perkakasan (hardware) termasuk pelayan (server) MySikap di Pusat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan stesen pengecas EVlution bersama MasterCard dan RHB Bank, di sini hari ini.

Terdahulu, HeiTech Padu mengumumkan menerima surat lantikan daripada JPJ membabitkan tender bernilai RM190.01 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan teknologi itu berkata tender berkenaan adalah bagi perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sistem MySikap di semua pejabat JPJ.

Sementara itu, Anthony memaklumkan, pihaknya akan mengumumkan mengenai kadar cukai jalan yang lebih rendah bagi kenderaan elektrik (EV) selewat-lewatnya akhir bulan ini atau awal bulan depan.

“Saya dah kata (umum) dalam bulan April atau awal bulan Mei,” katanya.

Beliau menjelaskan, pihaknya turut mengalu-alukan pihak swasta bagi membina stesen pengecas kenderaan elektrik untuk pengguna kereta di negara ini.

“Ini selaras harapan kerajaan bagi sasaran 10,000 stesen pengecas EV beroperasi di negara ini menjelang 2025.

“Sudah tentu ini memerlukan pelaburan daripada pihak swasta untuk stesen pengecas EV ditempatkan lokasi strategik di kawasan lebuhraya,” katanya.

Sebelum ini, Anthony dilaporkan berkata struktur cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) untuk EV yang lebih kompetitif akan diumumkan sebagai usaha menggalakkan penggunaan kenderaan itu.

Katanya, struktur cukai jalan itu hanya akan terpakai selepas 2025 iaitu selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jalan kepada kenderaan EV.

Berdasarkan rekod, pada Februari 2022, JPJ mengumumkan tawaran insentif Pengecualian Bayaran Fi LKM sepenuhnya untuk kenderaan EV bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×