Mohamad Rafi Pengerusi baharu MARA Corp. - Utusan Malaysia

Mohamad Rafi Pengerusi baharu MARA Corp.

Mohamad Rafi Shahzada
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) melantik Mohamad Rafi Shahzada sebagai Pengerusi baharu subsidiarinya iaitu MARA Corporation Sdn. Bhd. berkuat kuasa 27 Mac lalu, bagi menggantikan Tan Sri Hamad Kama Piah yang memegang jawatan tersebut sebelum ini.

Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, pelantikan Pengerusi MARA Corporation yang baharu adalah memastikan potensi dan prestasi syarikat dapat dikembangkan dan dipertingkatkan.

“Saya memberi harapan kepada beliau atas kapasiti pengalamannya yang luas dalam dunia korporat supaya memastikan pemilikan, penyertaan dan penguasaan agenda Bumiputera dapat diperkasakan sepenuhnya.

“MARA juga merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Hamad Kama Piah, mantan Pengerusi MARA Corp atas perkhidmatan beliau bermula Julai 2023 sehingga Mac 2024 yang tidak dinafikan banyak memberikan sumbangan dan manfaat kepada subsidiari MARA,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Rafi, 57, memiliki kelayakan profesional perakaunan daripada London School Of Accounting & Emile Wolfe, United Kingdom dan juga lulusan Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana dalam Accounting and Finance daripada University of Wales, 1991.

Mula menceburi kerjayanya pada 1986 di Bank Of America, Kuala Lumpur, kemahiran dan kepakaran beliau mula berkembang dalam pelbagai perihal seperti perbankan, perakaunan, pengurusan syarikat, minyak dan gas petrokimia, insurans, audit, dan Hal Ehwal Kawal Selia Korporat.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengurus Linco Limited Trading, London sebelum dilantik sebagai Naib Presiden Bank Of Credit And Commerce International (BCCI), United Kingdom.

Perjalanan kerjaya Mohamad Rafi ini terus mengorak langkah lebih jauh apabila dilantik sebagai Ketua Pegawai Kewangan di Nittoku (M) Sdn. Bhd.

Beliau kini diberikan amanah sepenuhnya sebagai Pengerusi baharu MARA Corp untuk berganding bahu bersama ahli pengurusan tertinggi MARA dalam memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera dapat dicapai.

Beliau perlu memandu arah dan memastikan 12 subsidiari MARA Corporation yang merangkumi segmen pendidikan, pengangkutan, perkhidmatan, pelaburan, hartanah, aeroangkasa, dan pembangunan latihan dapat mencapai prestasi terbaik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN