Matrade rangka strategi atasi cabaran geopolitik global

Matrade rangka strategi atasi cabaran geopolitik global

MATRADE rangka strategi atasi cabaran geopolitik. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sedang merangka strategi bagi mengatasi cabaran geopolitik yang kian memuncak ketika ini bagi memastikan prestasi perdagangan negara tidak terjejas.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Mohd. Mustafa Abdul Aziz berkata, pihaknya telah mengarahkan kesemua 49 pejabat Matrade di luar negara untuk membuat analisis pendedahan risiko geopolitik di kawasan masing-masing sebelum membangunkan cadangan tindakan penampan.

“Kami sedang melakukan analisis dan eksport Malaysia di negara yang terlibat konflik di Asia Barat. Walaupun kurang daripada satu peratus daripada nilai keseluruhan eksport, namun pada masa sama kita tidak boleh mengabaikan pasaran ini.

“Apa yang kami lakukan adalah mendapatkan maklumat bagaimana trend eksport ke negara-negara tersebut dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan menggunakan negara atau bandar di kawasan berkenaan untuk mengeksport di negara-negara yang terlibat konflik.

“Contohnya Iran, kita boleh menjual ke sana melalui Doha dan Dubai, serta akan berhubung dengan pengedar dan pengeksport di sana. Ketika konflik GCC (Gulf Cooperation Council) dengan Qatar sebelum ini, kita mengeksport barangan ke negara tersebut menerusi Oman,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang akhbar selepas majlis pra pelancaran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) edisi ke-20 di Matrade di sini, semalam.

Sementara itu, Pengerusi Matrade, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, satu lagi strategi untuk mengurangkan impak risiko geopolitik ke atas perdagangan Malaysia ialah dengan menambah pasaran baharu, terutamanya dalam kalangan pasaran baharu muncul.

Ujarnya, ini termasuk negara seperti Kenya, Brazil, Nigeria, Tanzania, Yaman, Morocco dan Namibia, yang mana kesemua negara-negara ini telah menunjukkan peningkatan signifikan dan potensi besar untuk eksport produk tempatan.

“Kita turut melihat kepada negara-negara yang mana keadaan ekonomi dan situasi politik mereka dilihat semakin baik dan memperlihatkan polisi lebih jelas untuk meningkatkan dagangan, misalnya Indonesia yang bakal menerima presiden baharu dengan mandat kukuh.

“Apabila pertumbuhan ekonomi China menyederhana sebelum ini, eksport kita ke sana telah berkurangan dan keadaan sama boleh berlaku di rantau lain, jadi persediaan awal dan langkah penampan penting, ini sedang dilakukan,” katanya.

Tambahnya, Matrade disasarkan untuk mencapai jumlah eksport lebih daripada RM1.7 trilion menjelang 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN