Malaysia perlu RM60 bilion hingga RM90 bilion untuk projek kritikal - Utusan Malaysia

Malaysia perlu RM60 bilion hingga RM90 bilion untuk projek kritikal

TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyaksikan upacara pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift (duduk kiri), dengan Pengarah Urusan The Palladium Group, Steven Van Weede (duduk kanan), pada Majlis Menandatangani Kerjasama antara Bursa Malaysia dengan Kerajaan United Kingdom, turut hadir Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar (paling kiri), di Bursa Malaysia, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan RM60 bilion hingga RM90 bilion (AS$12.9-19.3 bilion) untuk membiayai projek kritikal dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, skala kewangan untuk peralihan tenaga di Malaysia adalah penting, merangkumi pengembangan pengangkutan awam, pengukuhan infrastruktur grid dan peningkatan kemahiran tenaga kerja.

“Komponen penting ialah grid yang teguh dan boleh disesuaikan untuk menangani peningkatan pergantungan pada sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Anggaran kos untuk pembangunan grid juga besar, mencecah RM180 bilion (AS$38.6 bilion) menjelang 2050, untuk menampung cita-cita tenaga bersih Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) dengan program dari kerjaan United Kingdom (UK), Mobilizing Institutional Capital Through Listed Product Structures (MOBILIST) untuk membolehkan pelaburan yang lebih besar untuk menyokong peralihan tenaga.

MOBILIST yang sebahagian daripada Perkongsian Pelaburan British (BIP) tersebut juga bagi memajukan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Malaysia.

MOBILIST memberi tumpuan kepada mengaktifkan pasaran awam untuk memangkin penyelesaian pelaburan baharu dan produk kewangan yang boleh skala dan boleh ditiru dalam menyokong SDG dan peralihan bersih-sifar dalam pasaran baru muncul dan ekonomi membangun.

MoU tersebut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift dan Pengarah Urusan The Palladium Group, Steven van Weede.

Turut mencemar duli adalah Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, dengan komitmen sebanyak 156 juta pound Sterling (kira-kira RM1 bilion), program MOBILIST menyasarkan untuk memangkin pelaburan merentasi infrastruktur mampan, kewangan iklim dan kewangan inklusif pada skala global.

“Melalui produk kewangan yang boleh skala dan boleh ditiru, program ini bersedia untuk menggerakkan aliran modal institusi yang ketara ke dalam pasaran baharu muncul dan sempadan yang penting untuk membangunkan penyelesaian yang mampan dan memajukan SDG,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×