IPOH: Majuperak Holdings Bhd. (MHB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Jepun, Shizen International Inc. bagi meneroka potensi projek solar di Perak.
Dua matlamat MoU itu adalah bagi mengkaji pelaksanaan pembangunan projek fotovoltan solar yang dibina atas darat dan menilai potensi kawasan air bersesuaian untuk projek fotovoltan terapung di Perak.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Syed Agil Syed Hashim berkata, kerjasama itu membuka peluang besar bagi Perak kerana menganggap Shizen sebagai rakan kongsi yang ideal berdasarkan kepakaran dan rekod pencapaian.
“Kerjasama ini menjanjikan kemajuan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan membawa manfaat kepada penduduk tempatan, termasuk peluang pekerjaan, perkongsian teknologi dan kemakmuran ekonomi,” katanya.
Shizen International yang merupakan anak syarikat Shizen Energy Inc. berpangkalan di Fukuoka City yang mempunyai hubungan sebagai bandar kembar dengan Ipoh.
Syarikat tersebut aktif dalam pembangunan serta pengendalian kemudahan tenaga boleh diperbaharui di seluruh Asia, Oceania, dan Amerika Latin.
Penglibatan itu merangkumi loji jana kuasa angin dan solar. Sehingga kini Shizen Energy Group berjaya membangunkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 1,321.7 megawatt di Jepun dan peringkat antarabangsa.
MoU tersebut ditandatangani oleh Syed Agil dan Ketua Pegawai Eksekutif Shizen International, Rei Ushikubo dalam satu majlis yang disaksikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Kerjasama itu juga membabitkan kajian boleh laksana permulaan dan usaha sama untuk meneroka peluang pelaburan.
Sejak menandatangani perjanjian bandar kembar pada 1989, kedua-dua pihak giat melaksanakan program pertukaran pendidikan dan kebudayaan
Mengulas tentang usaha tersebut, Saarani berkata, langkah itu sejajar dengan dasar mesra pelabur kerajaan negeri dan wawasan untuk mempelopori teknologi hijau dan inovasi di bawah rancangan pembangunan Perak Sejahtera 2030.
“Kerjasama ini sejajar dengan kesungguhan Perak untuk membangunkan teknologi hijau dan usaha untuk menarik pelaburan menerusi Flagship ke-12 Pelan Perak Sejahtera 2030 iaitu Sumber Air dan Sumber Tenaga Boleh Baharu,” katanya. – UTUSAN










