LG Malaysia tubuh pusat service dan akademi

LG Malaysia tubuh pusat service dan akademi

Justin Choi (empat dari kiri) ketika menyempurnakan majlis pelancaran Pusat Servis dan Akademi LG di Sungai Besi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: LG Electronics (Malaysia) Sdn. Bhd. (LG),  mengumumkan pelancaran Pusat Servis dan Akademi LG di Sungai Besi, merupakan  pusat perkhidmatan dan akademi pertamanya di Malaysia.

Pengarah Urusan LG Malaysia, Justin Choi berkata, pelancaran pusat berkenaan bagi menekankan komitmen LG untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kepuasan pelanggan di rantau ini.

Menurutnya,  kemudahan baharu tersebut ditubuhkan bagi menyepadukan pusat perkhidmatan LG dengan akademi yang dijadikan hab pembelajaran.

“Dengan adanya pusat akademi ini,  saya yakin ia dapat membantu meningkatkan pengetahuan juruteknik dan ejen jualan LG supaya mereka dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih teliti.

Ia juga melambangkan de­di­kasi LG untuk memastikan setiap pelanggan dapat menikmati pengalaman ‘Life’s Good’ dengan menikmati perkhidmatan yang tiada tandingan,” katanya.

Tambahnya, selain  daripada perkhidmatan servis, pusat berkenaan turut  dilengkapi dengan bilik pameran yang mempamerkan pelbagai rangkaian produk LG. 

Sehubungan itu, pelanggan berpeluang untuk meneroka inovasi teknologi terkini daripada LG dengan menyaksikan kualiti dan kepakaran produk-produk keluaran syarikat elektronik itu yang tersedia untuk diperlihatkan.

Antara inovasi yang diperbaharui oleh LG seperti sistem hiburan rumah dan rangkaian peralatan elektronik pengguna.

Justin berkata, pusat perkhidmatan dan akademi baharu LG yang ditubuhkan di Malaysia, melambangkan komitmen  kumpulan untuk memenuhi keperluan dan melebihi jangkaan pelanggan. 

Katanya, pelaburan yang diletakkan pada pernubuhan pusat itu, dapat membuktikan LG berperanan sebagai peneraju dalam penetapan standard yang baharu dalam perkhidmatan pelanggan.

“Dengan perspektif yang sentiasa memandang ke hadapan, LG tekad untuk mengembangkan rangkaian perkhidmatannya untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan kepuasan pelanggan,” ujarnya.

Jelasnya,  inisiatif itu  merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh LG untuk mengukuhkan kehadiran pasaran.

Selain itu, ia juga dapat menyediakan liputan perkhidmatan yang meluas untuk memenuhi permintaan dan jualan yang semakin meningkat.

Beliau berkata,  usaha bagi penubuhan pusat itu juga mencerminkan dedikasi LG untuk menyediakan perkhidmatan servis dan sokongan pelanggan yang berterusan.

Katanya, dengan itu, interaksi antara pelanggan dan jenama yang positif dan mendatangkan manfaat bagi kedua-dua pihak dapat diwujudkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×