Lebih 75% projek diluluskan telah dilaksana - Zafrul - Utusan Malaysia

Lebih 75% projek diluluskan telah dilaksana – Zafrul

TENGKU ZAFRUL ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) mengumumkan sebanyak 1,802 daripada 2,386 projek pembuatan yang diluluskan oleh Jawatankuasa Pelaburan Kebangsaan (NCI) dari tahun 2021 hingga 2023 telah pun memasuki fasa pelaksanaan.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian pada kadar 75.5 peratus itu termasuk 1,597 projek dalam fasa permulaan.

Katanya, sebanyak 205 projek lagi telah pun memasuki fasa pembinaan bangunan/kemudahan pembuatan, atau pemasangan mesin dan peralatan.

“Sebanyak 551 projek atau 23.1 peratus lagi masih dalam proses perancangan, melibatkan kenal pasti lokasi serta rundingan bersama pemaju. Sementara itu, akan sentiasa ada sebilangan kecil projek yang tidak diteruskan atas beberapa sebab.

“Hanya 33 projek atau 1.4 peratus tidak dilaksanakan, mungkin disebabkan perubahan strategi syarikat, berbanding perubahan polisi oleh kerajaan,” katanya sewaktu membentangkan kad laporan MITI bagi suku pertama 2024 di Menara MITI di sini.

Zafrul berkata, pelaburan digital negara turut memperlihatkan prestasi memberangsangkan dengan RM144.7 bilion pelaburan digital telah diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dari tahun 2021 hingga 2023, melibatkan penciptaan 39,231 peluang pekerjaan.

“Pembangunan pusat data membentuk RM114.7 bilion daripada jumlah pelaburan digital yang diluluskan. Boleh dikatakan pusat data menyumbang kepada bilangan pembentukan pekerjaan kecil, namun apa yang penting ialah mereka menjadi pemboleh kepada ekonomi digital.

“Dengan membawa pusat data ke sini, akan ada kesan limpahan kepada syarikat lain di dalam ekosistem,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Malaysia berada pada kedudukan yang kukuh untuk menarik pelaburan asing berikutan pendiriannya yang neutral.

Jelasnya,, pendirian tersebut juga dapat membantu perdagangan negara ini untuk jangka panjang.

“Apabila bercakap tentang geopolitik, banyak syarikat yang datang ke sini untuk mengembangkan perdagangan mereka. Mereka memilih Malaysia kerana pendirian neutral ini. Kami mesra dengan semua negara.

“Dalam jangka masa panjang, lebih banyak syarikat akan datang ke Malaysia. Anda tahu tentang China Plus One, Euro Plus One dan Taiwan Plus One. Sekarang banyak syarikat yang mencari ‘Plus One’ untuk pengurusan risiko.

“Malaysia harus mengambil peluang ini untuk mendapatkan seberapa banyak syarikat datang ke sini yang kemudiannya akan meningkatkan perdagangan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian dijangka akan menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan iaitu FTA pertama dengan negara dari Asia Barat.

“Malah, ia bukan sahaja FTA, ia adalah Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif yang akan meliputi digital, hijau dan segala-galanya serta tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Seperti yang saya nyatakan, kami baru bermula semula dengan Korea Selatan. Jadi itulah dua yang boleh dilihat ketika ini. Yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selepas lawatannya ke Jerman ialah FTA EU Malaysia.

“Jadi itu sedang dibincangkan dan skop peringkat kerja sedang dilakukan. Jika mencapai persetujuan mengenai bidang apa yang boleh kita usahakan. Kita sudah tentu terus menyokong,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN