KL20 wujudkan syarikat pemula niaga bernilai RM400 bilion

KL20 dijangka wujudkan syarikat pemula niaga bernilai RM400 bilion

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan KL20 dijangka menjana penilaian tambahan syarikat pemula niaga mencecah RM400 bilion menjelang 2030, dengan sasaran pelaburan modal teroka (VC) tahunan mencecah RM750 juta.

Pelan tindakan yang dilancarkan bersempena Sidang Kemuncak KL20 itu juga bakal mewujudkan sehingga 3,000 syarikat pemula niaga aktif dan mencipta lebih 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2030.

Menteri Ekonomi , Rafizi Ramli berkata, pelan tindakan tersebut menggariskan inisiatif baharu yang akan mempercepatkan bidang kritikal ekosistem merangkumi modal, bakat dan kualiti syarikat pemula niaga.

Katanya, ia dilancarkan agar Malaysia menjadi destinasi pilihan bagi pertumbuhan modal peringkat awal, menjadi negara sebagai pusat usahawan bertaraf dunia dan bakat berkemahiran serta menjadi hab bagi syarikat pemula terkemuka dunia yang ingin berkembang.

“Sidang Kemuncak KL20 mewakili matlamat untuk membawa Malaysia sebagai negara dengan 20 ekosistem syarikat pemula niaga terbaik dunia.

“Malaysia berkait rapat dari segi geografi dan budaya dengan pasaran terbesar di dunia seperti Asia Tenggara, Asia Timur, India, dan Asia Barat.

“Dengan penduduk domestik yang pelbagai, digabungkan dengan kemudahan digital berkualiti tinggi dan kos yang berpatutan, ia menjadikan Malaysia destinasi ujian yang ideal untuk pelancaran dan perintis produk,” katanya dalam ucapan sempena perasmian KL20 2024 di sini semalam.

Menurut Rafizi,, Malaysia turut berusaha untuk menarik masuk unicorn global ke negara ini dengan “Unicorn Golden Pass” sekali gus menjadikan negara sebagai tapak teras Asia Tenggara bagi syarikat teknologi global.

Unicorn merupakan terma yang merujuk syarikat pemula persendirian yang mempunyai nilai lebih AS$1 bilion (lebih RM4.77 bilion).

“Kemasukan syarikat pemula niaga ke dalam negara mampu mencipta pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi.

“Dengan pelabur dan bakat yang tepat di Malaysia, kami akan menjadikan Malaysia pangkalan Asia Tenggara untuk syarikat teknologi global, di bawah ‘Unicorn Golden Pass.’

“Kami mahu menarik unicorn global untuk memasuki Malaysia, supaya pekerjaan berkemahiran tinggi dan bernilai tinggi diwujudkan, selain membangunkan saluran untuk bakal usahawan masa depan dan pemimpin kanan dalam teknologi,” katanya.

Tambah Rafizi, pihaknya menawarkan pakej insentif, termasuk yuran yang dikecualikan untuk pas pekerjaan pengurusan kanan, sewa bersubsidi, kadar cukai konsesi ke atas keuntungan korporat, perkhidmatan penempatan semula dan sebuah ‘startup concierge’ yang menguruskan pendaftaran untuk permulaan.

Sidang Kemuncak KL20 2024, yang diterajui oleh Kementerian Ekonomi, bakal merangsang semula kedudukan Malaysia sebagai hab terkemuka untuk pemula dan pemodal teroka, serta mengangkat Kuala Lumpur ke dalam senarai 20 hab pemula terbaik global menjelang 2030.

Lebih 3,000 peserta terdiri daripada pelabur antarabangsa dan syarikat-syarikat pemula niaga dijangka menghadiri acara yang berlangsung selama dua hari itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN