KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa untuk mengukur semula kaedah bagi kutipan cukai negara ini, ekoran trend bagi hasil Malaysia menunjukkan penurunan sejak beberapa tahun sebelum ini.
Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Apurva Sanghi berkata, hasil negara yang lebih rendah pada tahun ini disebabkan penurunan yang berlaku terhadap pendapatan pelaburan yang berkaitan petroleum.
Menurutnya, hasil Kerajaan Persekutuan diunjurkan menurun kepada 15.6 peratus daripada KDNK tahun ini berbanding 17.3 peratus pada 2023.
Jelas beliau, unjuran penurunan itu disebabkan pendapatan pelaburan yang lebih rendah di bawah kutipan hasil bukan cukai.
“Kerajaan menjangkakan dividen yang lebih rendah daripada Petronas walaupun andaian harga minyak global lebih tinggi sedikit untuk 2024 pada AS$85 iaitu bersamaan RM406 berbanding AS$82.5 (RM395) pada 2023,” katanya dalam pembentangan Malaysia Economic Monitor (MEM) ,edisi April 2024.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan Malaysia perlu menaikkan kutipan cukai negara lebih dari 15 peratus menurut sasaran Kumpulan Bank Dunia Malaysia.
Menurut beliau, walaupun kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah, antaranya seperti kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), namun kutipan cukai, masih tidak mencukupi.
Apurva Sanghi berkata, kutipan hasil cukai dijangka berada pada 12.3 peratus pada 2024 yang disebabkan oleh pengenalan kerajaan bagi cukai keuntungan modal.
Tambahnya, ini di mana 10 peratus daripada keuntungan bersih penjualan saham tidak tersenarai bagi syarikat serta kadar cukai perkhidmatan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan terpilih dengan skop yang lebih luas. – UTUSAN







