Jualan sambal Tokda naik 300% tahun lalu

Jualan sambal Tokda naik 300% tahun lalu

HASBAH Juwaini menunjukkan produk sambal yang dikeluarkan oleh jenama Tokda Halal Manufacturing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tokda Halal Manufacturing yang dimiliki Alfalah Hebat Sdn. Bhd. menerima sambutan positif sehingga mencapai pertumbuhan jualan 300 peratus  tahun lalu selepas menerima pengiktirafan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM).

Pengarah Urusannya, Has­bah Juwaini, 40 berkata, pengiktirafan halal itu telah menarik kepercayaan pelanggan bagi membeli produk sambal keluaran syarikat mereka. 

“Saya telah memohon halal pada Jun 2022 dan lulus pada Oktober 2023. Permulaan agak sukar namun, kami membuat sendiri bagi memastikan produk ini mendapat pensijilan halal. 

“Disebabkan kami mempunyai kilang OEM (jenama sendiri) kepada ushawan kecil dan besar untuk menggunakan resepi kami atau resepi sedia ada di kilang atau untuk penjenamaan semula sahaja. 

“Kami juga turut membantu usahawan yang menjalani OEM di kilang kami untuk mendapatkan sijil halal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Beliau yang memulakan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu memulakan perniagaan dari rumah dan kini, mempunyai sebuah kilang di Green Technology Park Warehouse, Seremban 2, Negeri Sembilan. 

Perniagaan sambal petai tempoyak, sambal bilis petai, sambal anak bilis garis, sambal podeh melaha, sambal hijau meletus itu dijualpada harga bermula RM4 hingga RM15. 

Mengulas lanjut, Hasbah mengakui beliau mendapatkan pensijilan halal untuk memastikan produk makanan yang dijual kepada pelanggan bermula dari bahan mentah, pembekal sehingga produk siap kepada pelanggan terjamin dari segi kualiti dan kebersihan 100 peratus. 

“Malah, telah menjadi amalan harian kakitangan di kilang untuk mengikut prosedur operasi standard (SOP) halal dan MESTI daripada Kementerian Kesihatan seterusnya mencapai standard makanan yang berkualiti dan selamat dimakan

“Oleh itu, saya melihat pengiktirafan pensijilan halal ini dapat membantu saya memperluaskan lagi perniagaan dan memberi kepercayaan kepada pelanggan kerana kami mengikut piawaian atau standard yang dikeluarkan oleh bahagian halal,” katanya yang kini mempunyai 15 kakitangan. 

Sehingga kini, pihaknya mampu menjual sehingga 300,000 hingga 500,000 unit sambal setahun melalui pelbagai platform iaitu secara ‘offline’ dan dalam talian termasuk tiktok shop dan shopee.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN