PETALING JAYA: Jabatan Perangkaan merekodkan kadar pertumbuhan tahunan Indeks Pelopor (IP) meningkat 2.0 peratus, mencatatkan 112.7 mata pada Februari 2024 berbanding 110.5 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, IP memberi petunjuk awal tentang titik perubahan ketara dalam kitaran perniagaan dan arah tuju ekonomi bagi tempoh terdekat.
“Pertumbuhan positif bagi tiga bulan berturut-turut ini menggambarkan prospek ekonomi yang optimis pada suku kedua 2024,” katanya dalam kenyataan.
Jelasnya, prestasi tahunan IP itu disokong oleh kenaikan dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (28.0 peratus) dan diikuti oleh Import Benar Logam Asas Berharga dan Logam Bukan Ferus Lain (9.9 peratus).
“Melihat kepada prestasi bulanan, IP mencatatkan 0.4 peratus pada Februari 2024, disokong oleh Bilangan Unit Kediaman Yang Diluluskan Pembinaan iaitu 0.4 peratus dan Import Benar Semi Konduktor sebanyak 0.2 peratus,” ujarnya.
Katanya, kadar pertumbuhan IP terlicin bagi Februari 2024 kembali melebihi 100.0 mata selepas 16 bulan di bawah trend.
Tambahnya, ia menggambarkan ekonomi Malaysia dijangka bertambah baik pada masa hadapan, disokong oleh pertumbuhan domestik dan perbelanjaan isi rumah yang berterusan.
“Indeks Serentak (IS) yang menggambarkan keadaan ekonomi semasa mengekalkan pertumbuhan positifnya sebanyak 1.9 peratus kepada 124.2 mata pada Februari 2024 berbanding 121.9 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan itu selaras dengan prestasi yang memberangsangkan daripada kesemua komponen IS kecuali Gaji dan Upah Benar dalam Pembinaan (-0.8 peratus).
“Pada masa yang sama, prestasi bulanan IS bertumbuh 0.2 peratus dipacu oleh peningkatan dalam Indeks Kuantiti Perdagangan Runcit sebanyakl 0.4 peratus,” katanya. – UTUSAN











