PETALING JAYA: I-Bhd, pembangun Bandar Teknologi No. 1 Malaysia, i-City, menerima komitmen pelaburan sebanyak RM100 juta dalam Saham Keutamaan Boleh Tebus daripada pemegang saham utama dan pengerusinya, Tan Sri Lim Kim Hong.
I-Bhd dalam kenuataan berkata, sokongan kewangan itu bertujuan mempercepatkan pembangunan hartanah di i-City, selaras dengan pertumbuhan pasaran hartanah yang dijangka meningkat.
“Suntikan RM100 juta akan merangsang pembangunan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM5 bilion dan mengembangkan portfolio hartanah pelaburan RM1 bilion sambil memaksimumkan pulangan daripada aset.
“Ia juga melambangkan keyakinan yang kuat terhadap potensi pertumbuhan i-City dan inisiatif strategiknya, selaras dengan pemacuan agenda Malaysia Digital yang merangkumi bandar digital,” menurut kenyataan.
Dalam dua tahun lalu, kumpulan telah membangun semula hala tuju pembangunan hartanah yang terganggu akibat pandemik dan berada pada garis pertumbuhan yang signifikan di mana penjualan belum dibukukan pada akhir 2023 melonjak ke RM113 juta dari RM39 juta pada tempoh sama pada 2021.
Oleh itu, kumpulan ingin mempercepatkan penyelesaian projek-projek semasa untuk memanfaatkan gelombang kenaikan yang dijangkakan dalam pasaran hartanah.
Ujarnya, sokongan kewangan tersebut membantu memaksimumkan pulangan dari aset-aset lain seperti menara korporat GBI Grade A Mercu Maybank, DoubleTree Hilton i-City, Best Western Hotel, pusat beli-belah serantau Central i-City, Pusat Data tahap-3 dan kemudahan tempat letak kereta.
“Fokus ini membolehkan i-City untuk menambah nilai kepada kedua-dua penyewa dan rakan kongsi perniagaan, menaikkan keuntungan dan mendapatkan peluang pertumbuhan yang lebih pesat.
“Ini bagi menjadikan i-City sebagai destinasi yang rancak telah mencipta kesan penggandaan jangka panjang yang berterusan untuk bahagian pembangunan hartanah, pelaburan hartanah, dan rekreasi mereka,” katanya. – UTUSAN










