CICA optimis dalam program transformasi ESG - Utusan Malaysia

CICA optimis dalam program transformasi ESG

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Pematuhan dan Akreditasi Bertauliah (CICA) optimis membantu syarikat-syarikat dan organisasi awam atau swasta dalam program Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) bagi transformasi menuju keunggulan, tadbir urus yang mampan dan pertumbuhan profesional.

Pengerusi CICA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus berkata, CICA mengiktiraf keperluan segera untuk mewujudkan sebuah badan selia yang didedikasikan untuk memupuk amalan piawaian dan kelestarian mampan di semua industri.

“Melalui program ESG+, CICA menjadi pemacu utama dalam kerangka kerja menyeluruh dan inisiatif berteknologi tinggi dalam menyokong organisasi dalam perjalanan kelestarian mereka,” katanya dalam kenyataan.

Jelas beliau, program ESG+ itu menyediakan kerangka kerja holistik untuk membantu syarikat-syarikat dan organisasi mengintegrasikan amalan ESG ke dalam operasi mereka dengan berkesan.

“Dengan mengikuti kerangka kerja ini, sesebuah organisasi dapat meningkatkan usaha kelestarian mereka, selaras dengan amalan terbaik global,” ujarnya.

Dr. Ahmad Jailani menambah, CICA turut memperkenalkan inisiatif inovatif yang memperkasakan sesebuah organisasi untuk membuat kemajuan bermakna ke arah kelestarian, sekali gus memberi impak positif kepada masyarakat.

Katanya, inisiatif-inisiatif itu direka bagi menangani cabaran dan peluang yang timbul dalam bidang kelestarian.

Dalam pada itu, katanya, program itu juga mencipta peluang pekerjaan baharu dengan mendidik dan melatih sekumpulan pakar pematuhan ESG.

“CICA bertujuan menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja untuk memajukan tadbir urus korporat dengan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

“Inisiatif ini tidak hanya memberi manfaat kepada perniagaan, namun turut mengukuhkan pasaran kerja dengan menyediakan peluang pekerjaan dalam bidang kelestarian dan tadbir urus korporat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN