PETALING JAYA: Bank Simpanan Nasional (BSN) memperkenalkan BSN DuitNow QR Soundbox iaitu terminal pembayaran digital yang menyelaraskan bayaran tanpa tunai sekali gus memudahkan urusan jual beli di bazar Ramadan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia secara tidak langsung membantu peniaga-peniaga untuk mendigitalisasi aktiviti penjualan dengan BSN DuitNow QR.
“Di Bazar TTDI, terdapat sebanyak 82 peniaga menggunakan kod QR bagi transaksi pembayaran yang terus masuk ke akaun bank peniaga.
“Dengan kaedah itu, peniaga boleh melihat kutipan diraih setiap hari tanpa perlu membuat pengiraan sekali gus mempercepatkan proses penjumlahan keuntungan.
“Pada masa sama, kaedah itu juga memudahkan proses pembayaran tanpa memerlukan peniaga menyediakan wang kecil,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Bazar Ramadan TTDI, di sini, baru-baru ini.
Amir Hamzah berkata, kutipan yang diterima peniaga setiap hari menerusi kaedah pembayaran kod QR juga boleh dijadikan sebagai laporan kewangan mereka.
“Apabila ada transaksi dalam akaun bank mereka, ia boleh dijadikan laporan yang digunakan oleh peniaga untuk membuat pinjaman kepada pihak bank.
“Dengan ada bantuan pinjaman daripada pihak bank, ia akan membantu peniaga pada masa depan,” katanya.
Mengulas mengenai kelemahan sistem kod QR, beliau berkata, pihak bank perlu membuat penambaikan berhubung perkara itu.
Dalam lawatan itu, Amir Hamzah menyantuni peniaga di Bazar Ramadan TTDI dengan meluangkan masa kira-kira satu jam bagi beramah mesra dengan peniaga serta pengunjung.
Beliau turut menyampaikan agihan 500 juadah berbuka puasa yang disediakan oleh BSN Care menerusi Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pihaknya.
Antara penerima juadah berbuka puasa itu adalah Balai Polis TTDI, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) TTDI, Masjid At-Taqwa TTDI serta pengunjung bazar berkenaan. – UTUSAN










