Bidang kraftangan mampu  jana RM5,000 sebulan

Bidang kraftangan mampu  jana RM5,000 sebulan

NAILAH Omar menunjukkan produk bakul bermotifkan tenunan songket yang mendapat sambutan di rumahnya di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermula dengan perniagaan kecil-kecilan ketika di universiti sehingga mampu menjalankan perkhidmatan mengubah cenderahati atau ‘doorgift’ dan hamper, kini pemilik Pahar Creations, Nailah Omar, 33 mampu menjana pendapatan sehingga mencecah RM5,000 sebulan.

Dia menjelaskan, perjalanan perniagaan bermula sewaktu majlis perkahwinannya pada 2017 apabila menerima bunga telur yang diperbuat daripada songket.

“Bermula dari situ, saya mendapat idea untuk menghasilkan  sendiri bunga yang diperbuat daripada songket dan mula membuat kerja kraftangan serta cenderahati perkahwinan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaysia Perlis (UMP) pada 2016 itu menjelaskan, dia pernah bekerja dalam bidang kejuruteraan namun, tidak berminat untuk meneruskan pekerjaan dalam bidang tersebut. 

“Saya menganggap bidang ini (perniagaan) memberi kepua­san kepada saya dan produk kraftangan ini diambil daripada Indonesia untuk dijadikan hamper raya atau cenderahati majlis perkahwinan bermotifkan songket dan tenun.

“Walaupun kini ke arah pemodenan produk songket masih lagi mendapat sambutan dan masih ramai lagi yang mengekalkan tradisi songket Melayu terutama dalam majlis perkahwinan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. 

Nailah yang menjalankan perniagaan di Pulau Pinang itu menjelaskan, perniagaan cenderahati perkahwinan dan hamper raya yang dijual bermula RM1 hingga RM150 manakala, hamper raya serendah RM15 hingga ke RM250. 

“Bagi musim perayaan ini, hamper raya dan kuih raya mendapat sambutan menggalakan. 

“Pelanggan kami juga dari Singapura dan Brunei. Sekiranya ada peluang dan permintaan daripada pelanggan saya berhasrat untuk memasarkan produk cenderahati ini sehingga ke Eropah,” katanya. 

Pada tahun lalu, sempena perayaan, dia mampu mengaut keuntungan sebanyak RM5,000 untuk hamper raya. 

Nailah berkata, dia mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk membuat satu hamper manakala, bunga telur bermotif songket memerlukan masa 30 minit satu jenis. 

Nailah turut menyasarkan RM10,000 jualan pada tahun ini dan memfokuskan produk kraftangan yang unik dan tradisional seperti barangan buatan dari buluh dan songket. 

Jelas Nailah, dia pernah mengalami kerugian ketika membuat penghantaran produk dan barang yang rosak sewaktu proses penghantaran ke Singapura. 

“Kami terpaksa menanggung kerugian tetapi ini tidak mematahkan semangat untuk meneruskan penghantaran lagi ke luar negara,” katanya. 

Nailah juga tidak menafikan wujud persaingan agak sengit dalam bidang perniagaan cenderahati perkahwinan namun, dia cuba menghasilkan berbeza daripada pihak lain. 

“Mungkin ada produk yang sama, tetapi kami cuba mengolah cenderahati ini mengikut kreativiti kami sendiri. Alhamdulillah, saya menerima sambutan pelanggan yang amat baik,” katanya. 

Nailah juga turut menasihatkan usahawan lain untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dan hasil berbeza supaya pelanggan berpuas hati dengan setiap penghasilan dilaksanakan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN