Bank Rakyat umum dividen 15%, 2% dividen istimewa

Bank Rakyat umum dividen 15%, 2% dividen istimewa

Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus dengan jumlah RM424.62 juta bagi tahun kewangan 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Bank Rakyat mengumumkan pembayaran dividen sebanyak 15 peratus dengan jumlah RM424.62 juta bagi tahun kewangan 2023.

Pembayaran dividen kepada 802,823 anggotanya yang layak itu akan dilakukan mulai 5 April 2024. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick, sempena dengan ulang tahun Bank Rakyat ke-70, bank juga mengumumkan dividen istimewa sebanyak dua peratus dengan jumlah pembayaran sebanyak RM56.62 juta.

Katanya, pembayaran akan diagihkan berdasarkan pegangan saham yang layak pada 31 Disember 2023 dan pembayaran dividen istimewa ini akan dilakukan pada bulan September 2024 bersempena dengan sambutan ulang tahun Bank Rakyat ke-70.

“Prestasi kewangan memberangsangkan ini telah membolehkan Bank Rakyat untuk mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai ganjaran kepada semua anggota dan pihak berkepentingan Bank Rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak dua peratus daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM35.47 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi.

Tambahnya bank juga menyumbangkan satu peratus bersamaan RM17.74 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi. 

“Jumlah sumbangan bagi tahun 2023 adalah sebanyak RM53.21 juta,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, bank merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi sebanyak RM1.76 bilion bagi tahun kewangan berakhir 2023, naik 3.80 peratus berbanding RM1.70 bilion pada tahun sebelumnya.

Katanya, prestasi yang lebih tinggi ini dicapai melalui pengukuhan asas dan fokus terhadap aktiviti teras untuk kekal berdaya tahan meskipun ketidaktentuan pasaran ekonomi global dan persekitaran perbankan semakin mencabar.

“Prestasi memberangsangkan ini dipacu aktiviti-aktiviti pembiayaan dan pelaburan yang mampan, pertumbuhan teguh akaun semasa, akaun simpanan dan akaun pelaburan (CASAIA), serta peruntukan penjejasan yang mencukupi pada tahun semasa sejajar dengan aliran industri. 

“Pendapatan utama kumpulan melonjak sebanyak 12.90 peratus kepada RM6.67 bilion berbanding RM5.90 bilion sebelum ini, didorong pertumbuhan pembiayaan tahun ke tahun 3.82 peratus dalam semua segmen perniagaan,” ujarnya.

Tambah beliau, kumpulan mempamerkan disiplin dan pengurusan kos yang efisien, dicerminkan oleh kadar nisbah kos kepada pendapatan yang sihat sebanyak 47.85 peratus, lebih rendah daripada purata industri.

Beliau berkata, prestasi kumpulan yang lebih baik ini turut disokong oleh peningkatan pendapatan berasaskan fi dan pendapatan lain sebanyak 31.58 peratus atau RM139.21 juta kepada RM580.00 juta berbanding RM440.79 juta pada tahun sebelumnya.

Mohd Irwan berkata, jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 1.16 peratus atau RM1.36 bilion kepada RM118.69 bilion berbanding RM117.33 bilion pada tahun sebelumnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN