PETALING JAYA: Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB) melantik kembali Datuk Abdul Rahman Ahmad sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), berkuat kuasa 1 Julai 2024.
Menurut kenyataannya, Abdul Rahman ketika ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB dan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Bank Berhad serta telah berkhidmat sejak 2020.
Beliau membawa bersama pengalaman kepimpinan lebih 20 tahun dalam pelbagai perkhidmatan kewangan dan sektor korporat, termasuk Malaysian Resources Corporation Berhad, Media Prima Berhad dan Ekuiti Nasional Berhad.
“Abdul Rahman juga merupakan bekas Pengerusi Bukan Eksekutif Bukan Bebas Sime Darby Berhad dan Velesto Energy Berhad.
“Sebelum menjawat jawatan terkini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, beliau pernah berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB dari 2016 hingga 2019 dan memainkan peranan penting dalam memacu transformasi strategik PNB,” katanya.
Lembaga Pengarah PNB mengalu-alukan kepulangan Abdul Rahman dalam menyediakan kesinambungan dan memacu pelaksanaan pelan strategik PNB yang baru dibangunkan serta membantu melaksanakan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.
Sementara itu, CIMB Group Holdings Bhd. dalam kenyataan berasingan mengumumkan pengunduran Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan pada 30 Jun ini selepas berkhidmat dengan kumpulan itu selama empat tahun sejak 2020.
“Bagi memudahkan proses peralihan, Datuk Mohd. Nasir Ahmad yang pada asalnya akan bersara pada Julai ini selepas tamat tempoh sembilan tahun sebagai pengarah Lembaga Pengarah, akan kekal sebagai Pengerusi Kumpulan, dan dilantik semula sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif.
“Ini selaras dengan tadbir urus korporat yang baik, berkuat kuasa 20 Julai 2024 dan selepas kelulusan pihak berkuasa kawal selia mengenai pembaharuan tempoh perkhidmatannya,” katanya.
Mohd. Nasir berkata, Abdul Rahman telah melakukan kerja yang cemerlang, memacu transformasi CIMB di bawah pelan strategik Forward 23+ dan telah memainkan peranan penting dalam meletakkan CIMB pada kedudukan yang kukuh sebagai peneraju fokus bank Asean.
“Di bawah kepimpinan beliau, kumpulan mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam prestasi kewangan, mengukuhkan daya tahan operasi, mempercepatkan inisiatif digitalnya, meningkatkan tahap kemampanan, serta membantu menyemai budaya CIMB yang kukuh.
“Kumpulan CIMB mempunyai pelan penggantian yang mantap, yang telah diaktifkan dan Lembaga Pengarah akan mengumumkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group yang baharu dalam masa terdekat, sebaik sahaja kelulusan kawal selia diterima,” ujarnya. – UTUSAN










