189 dana unit amanah KWSP layak ditawarkan - Utusan Malaysia

189 dana unit amanah KWSP layak ditawarkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan 189 dana unit amanah mencapai kriteria kelayakan minimum dan layak ditawarkan kepada ahlinya di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP) bagi tempoh 2024/2025, berkuat kuasa 1 April 2024.

Daripada dana yang layak, sebanyak 151 dana, atau bersamaan dengan 79.9 peratus adalah dana tempatan; 107 dana (56.6 peratus) adalah dana ekuiti; dan 76 dana (40.2 peratus) adalah dana syariah.

Pengumuman itu adalah berdasarkan penilaian tahunan yang dilaksanakan pada kedudukan setakat 31 Disember 2023.

Ketua Pegawai Pelaburan KWSP, Rohaya Mohammad Yusof berkata, KWSP akan terus menyediakan pilihan dan fleksibiliti kepada ahli yang layak untuk meneroka peluang pelaburan yang lebih luas melalui Institusi Pengurusan Dana (IPD) yang dilantik oleh KWSP.

Ujarnya, skim itu membolehkan ahli untuk memindahkan sebahagian daripada simpanan dalam Akaun 1 KWSP ke dalam dana unit amanah yang layak ditawarkan untuk pelaburan di pasaran tempatan atau global bagi memberi peluang kepada ahli meningkatkan simpanan persaraan.

“Senarai ini juga termasuk dana unit amanah berasaskan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) yang berperanan dalam memacu agenda pelaburan mampan KWSP, di samping memperkasa ahli untuk membuat keputusan pelaburan yang termaklum melalui pelbagai dana yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua dana yang diluluskan di bawah SPA KWSP ini dinilai setiap tahun berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh KWSP dan diluluskan oleh Kementerian Kewangan.

Dua kriteria kelayakan untuk penilaian dana termasuk prestasi yang konsisten serta prestasi relatifnya berbanding penanda aras dana. Ambang kelayakan yang ditetapkan untuk kriteria ini disemak dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya dana dengan kualiti tertinggi
disenaraikan.

Di bawah SPA KWSP, ahli diberi pilihan untuk melabur dengan IPD sehingga 30 peratus daripada lebihan jumlah simpanan di dalam akaun tersebut.

Ia termasuk melabur dengan Syarikat Pengurusan Dana Amanah dan Syarikat Mandat Persendirian, bergantung kepada kelayakan berdasarkan simpanan asas.

Menurut Rohaya, sejak pelancaran platform i-Invest pada 2019, sekitar RM2.5 bilion telah diurusniagakan sehingga Disember 2023.

“KWSP menggalakkan lebih ramai ahli memanfaatkan kemudahan i-Invest berikutan penambahbaikan pada platform itu dibuat awal tahun ini yang membolehkan transaksi untuk portfolio mandat persendirian.

“Penambahbaikan ini membolehkan ahli untuk melakukan transaksi melibatkan portfolio mandat persendirian yang diluluskan, sebagai tambahan kepada dana unit amanah yang layak ditawarkan melalui platform i-Invest,” ujarnya.

Beliau menambah, portfolio mandat persendirian dan dana unit amanah di bawah SPA KWSP memberikan fleksibiliti kepada ahli untuk melabur melalui pengurus aset profesional berdasarkan objektif pelaburan individu, keutamaan dan toleransi risiko mereka.

Ahli boleh melakukan transaksi dengan mudah melalui i-Invest dengan caj jualan pendahuluan yang dibayar oleh ahli kepada IPD adalah dihadkan pada 0.5 peratus untuk setiap transaksi pembelian.

Ahli disarankan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dalam membuat sebarang keputusan pelaburan dan mendapatkan maklumat yang tepat serta nasihat profesional sebelum membuat keputusan atau transaksi dan rujuk kepada Khidmat Nasihat Ahli KWSP di mana-mana cawangan KWSP seluruh negara sebelum menyertai SPA KWSP.

Walaupun KWSP telah meluluskan dana-dana ini, ianya bukan merupakan cadangan atau pengesahan untuk ahli melabur ke dalam mana-mana dana tertentu.

Untuk senarai penuh untuk dana unit amanah yang ditawarkan di bawah setiap IPD, ahli boleh merujuk kepada laman web KWSP di https://www.kwsp.gov.my/ms/ahli/simpanan/i-invest. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN