PETALING JAYA: Verdant Solar menerima pengiktirafan sebagai pembekal terbesar pemasangan solar kediaman di negara ini dalam tempoh setahun, daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Berikutan pengiktirafan ini, Verdant Solar telah muncul sebagai pembekal solar pilihan untuk lebih 2,300 hartanah dan pemilik rumah di Malaysia.
Pada 2022, syarikat itu juga memperoleh anugerah daripada MBOR bagi pembekal solar terkemuka negara untuk pemasangan solar kediaman, dengan sejumlah 650 rumah.
“Dengan pemasangan melebihi 9958.9kW, setara dengan RM12 juta dalam penjimatan bil elektrik, dan sejumlah 12,645 tan CO2 yang dihindari pada tahun 2023 sahaja, menempatkan Verdant Solar sebagai pilihan utama bagi kediaman untuk penyelesaian tenaga mampan di negara ini,” maklum syarikat itu dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Verdant Solar, Zeth Lim berkata, Syarikat berbesar hati untuk sekali lagi diiktiraf oleh MBOR, menekankan komitmennya untuk memajukan peralihan Malaysia kepada 100 peratus tenaga boleh perbaharu (RE).
Katanya, di Verdant Solar, Syarikat berdedikasi dalam inisiatif praktikal bagi sektor tenaga solar, dengan tumpuan kepada memperluaskan penggunaan solar kediaman dan memacu inovasi.
“Kami berhasrat untuk mengekalkan momentum ini, menyediakan rakyat Malaysia dengan pilihan mampan yang mereka perlukan. Hari ini, kami gembira untuk melancarkan aplikasi Verdant Home, aplikasi alat pemantauan mesra pengguna yang membolehkan pemilik rumah mengurus penggunaan tenaga mereka dengan efisien. Ini menandakan satu lagi pencapaian yang bermakna dalam perjalanan kami,” katanya.
Zeth turut berkongs bahawa masih terdapat banyak cabaran dan tanggapan salah yang berkaitan dengan integrasi dan penggunaan tenaga solar.
Satu cabaran utama ialah kos permulaan pemasangan panel solar, yang boleh menjadi penghalang bagi sesetengah individu atau perniagaan.
“Semestinya kita memerlukan lebih banyak pendidikan dan kesedaran tentang faedah tenaga solar bagi mengatasi tanggapan yang salah ini. Verdant Solar telah menunjukkan kesediaan untuk menangani isu ini dan meningkatkan keyakinan pelanggan dengan melaksanakan pelbagai pendekatan yang boleh mendidik pengguna tentang faedah tenaga solar dan potensinya untuk mengurangkan bil elektrik dan jejak karbon.
“Dengan matlamat untuk merangkumi pendekatan bersepadu, meliputi kawasan kediaman, korporat dan teknologi, kami berusaha untuk mengukuhkan kedudukan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui dan menubuhkan diri sebagai pembekal penyelesaian solar yang boleh dipercayai,” katanya. – UTUSAN










