PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju memperluas skop pengecualian cukai perniagaan ke perniagaan (B2B) perkhidmatan logistik, meliputi penyediaan perkhidmatan di bawah butiran sama.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, layanan khas Cukai Perkhidmatan (CP) itu meliputi beberapa perkhidmatan iaitu perkhidmatan logistik bagi barang dieksport terus dan pengecualian cukai ke atas aktiviti pindah kapal.
Jelas beliau, pengecualian cukai turut diberi ke atas perkhidmatan logistik pintu ke pintu dan aktiviti B2B perkhidmatan logistik.
“Ini adalah untuk mengurangkan insiden cukai berganda atau kesan melata daripada pengenaan cukai atas cukai bagi beberapa lapisan rantaian bekalan
logistik.
“Sehubungan itu, penyedia perkhidmatan logistik yang baharu berdaftar diberi tempoh satu bulan persediaan dan akan hanya mengenakan cukai perkhidmatan 6 peratus mulai 1 April 2024.
“Contohnya, sebagai penyedia perkhidmatan penghantaran fret bukan sahaja mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan fret tetapi turut layak mendapat pengecualian ke atas perkhidmatan lain seperti penggudangan, pelabuhan, perkapalan, dan kemudahan rantaian sejuk yang berada dalam butiran sama dengan perkhidmatan fret tersebut.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.
Amir Hamzah menjelaskan, beliau berharap layanan khas yang diberikan ini dapat terus menyokong pertumbuhan sektor logistik negara dan pada masa yang sama
memastikan pengguna termasuk peniaga tidak terbeban.
Dalam Belanjawan 2024, perkhidmatan logistik dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus mulai 1 Mac 2024.
Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada 25 sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk sektor logistik sebelum pelaksanaan perubahan cukai ini, kerajaan telah memberi pengecualian cukai perkhidmatan untuk perkhidmatan logistik bagi barang yang dieksport terus, perkhidmatan logistik aktiviti transhipment, perkhidmatan logistik aktiviti transit, perkhidmatan logistik door-to-door; dan perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman melalui e-dagang. – UTUSAN










