SIRIM bantu tubuh sistem piawaian industri Papua New Guinea

SIRIM bantu tubuh sistem piawaian industri Papua New Guinea

MAJLIS pertukaran dokumen kerjasama antara SIRIM Berhad dan The National Institute of Standards and Industrial Technology Papua New Guinea di Shah Alam, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SIRIM Berhad menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan The National Institute of Standards and Industrial Technology (NISIT) Papua New Guinea (PNG) untuk menubuhkan Sistem Piawaian Kebangsaan yang komprehensif dan mendorong pembangunan industri di Papua New Guinea.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Indera Ir. Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, matlamat MoU itu untuk menyokong penye­ragaman dan meningkatkan produktiviti industri di Papua New Guinea dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti ujian, latihan, pendidikan, dan bantuan teknikal.

Katanya, MoU itu juga komitmen SIRIM memajukan pemindahan teknologi dan kerjasama komersialisasi untuk mempercepatkan hasil pembangunan dengan memanfaatkan sumber kolektifnya untuk faedah ekonomi negara.

“Harapan saya agar kerjasama ini akan membantu Papua New Guinea menubuhkan Sistem Piawaian Kebangsaan yang komprehensif dan memastikan pengeluaran produk serta perkhidmatan berkua­liti yang boleh dipercayai dan mampan,” ujarnya dalam ke­nyataan.

Tambahnya, kerjasama itu secara tidak langsung akan melin­dungi daripada produk yang tidak selamat dan subpar; mempromosikan piawaian dan standard teknikal untuk perdagangan dan industri di Papua New Gui­nea, serta meningkatkan kecekapan industri negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, MoU itu telah me­ngenal pasti tujuh kawasan penyelidikan berpotensi untuk persefahaman strategik.

“Ia termasuk sains semula jadi; kejuruteraan dan teknologi; sains perubatan dan kesihatan; sains pertanian; sains sosial dan kemanusiaan; mempromosikan pemindahan teknologi dan kerjasama komersialisasi; dan kawasan penyelidikan lain yang dipersetujui secara bersama,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu turut melibatkan projek berkaitan metrologi; penyelidikan dan teknologi; latihan; piawaian dan perundingan; akreditasi dan pensijilan; pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana; dan kalibrasi.

“Sehingga kini, lebih daripada 13 sesi latihan teknikal telah dijalankan, dengan dua sedang berlangsung, memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan dan pembangunan piawaian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×