SDAC lancar Ford Assured untuk program jaminan model terpakai - Utusan Malaysia

SDAC lancar Ford Assured untuk program jaminan model terpakai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) melancarkan program ‘Ford Assured’ atau ‘Jaminan Ford’, sebuah program yang menawarkan model-model kenderaan Ford terpakai yang mendapat perakuan.

Program tersebut merupakan usaha perakuan dan jaminan menyeluruh yang bertujuan memberikan keyakinan dan ketenangan fikiran kepada pelanggan yang mempertimbangkan pembelian kenderaan Ford terpakai.

Pengarah Urusan Sime Darby Motors Asia Tenggara, Jeffrey Gan berkata, tumpuan utama program Ford Assured ialah proses pemeriksaan dan perakuan teliti yang memastikan kereta Ford terpakai memenuhi kualiti dan piawaian prestasi yang ketat.

Katanya, program ini dirangka untuk menambah baik pengalaman pembelian kereta terpakai keseluruhan bagi pelanggan, sekali gus menekankan komitmen Ford kepada kualiti, kebolehpercayaan dan kepuasan pelanggan.

“Menyedari permintaan yang semakin meningkat bagi segmen kenderaan terpakai di Malaysia, kami berpegang teguh kepada dedikasi kami untuk memenuhi keperluan pelanggan.

“Sejajar dengan reputasi kami sebagai pengedar kenderaan yang dipercayai di seluruh sektor automotif, program ini mencerminkan kesungguhan Sime Darby Motors untuk menetapkan penanda aras industri dan menambah baik pengalaman automotif secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut SDAC, program ini menggariskan piawaian kenderaan yang ketat, yang menetapkan syarat bahawa kenderaan Ford terpakai seharusnya berusia kurang dari lima tahun atau mempunyai jarak perjalanan kurang daripada 140,000 kilometer (km) untuk Ranger dan 80,000km untuk Everest.

Tambahnya, kenderaan tersebut juga perlu mempunyai sejarah servis yang lengkap dan komprehensif.

“Selain itu, pemeriksaan 96-titik yang dikendalikan oleh juruteknik bertauliah memastikan setiap aspek kenderaan Ford terpakai, daripada prestasi mekanikal kepada rupa bentuk kenderaan, memenuhi piawaian tertinggi.

“Tambahan lagi, piawaian baik pulih khusus memastikan proses pembaikan dilaksanakan pada tahap kecemerlangan tertinggi, dengan menggalakkan konsistensi dan kualiti meliputi semua kenderaan terpakai Ford yang diperakui,” ujarnya.

Jelasnya, untuk kenderaan dengan waranti daripada pengeluar yang sudah luput, SDAC berkata, program Ford Assured memberikan jaminan 12 bulan bagi enjin dan kotak gear, tertakluk kepada terma dan syarat.

“Syarat-syarat ini termasuk jarak perjalanan kenderaan di bawah 140,000 km untuk Ranger manakala untuk Everest pula 80,000 km dan usia tidak melebihi lima tahun.

“Selain itu, jaminan ini menetapkan syarat bahawa alat-alat ganti kenderaan mestilah tidak pernah digantikan atau diubahsuai oleh pihak ketiga dan mesti diservis, diselenggarakan dan dibaiki oleh wakil-wakil penjualan Ford yang sah mengikut selang masa servis yang disyorkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×