PUTRAJAYA: Orang awam kelak boleh berinteraksi dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail secara paparan hologram AI menerusi inisiatif AI Digital Human.
Saifuddin berkata, AI Digital Human ini adalah satu inisiatif di bawah AI for KDN yang mampu berinteraksi dengan rakyat bagi mengetahui segala dasar, inisiatif dan persoalan penting mengenai KDN dan agensi di bawahnya.
“Kita guna pakai teknologi semasa dan ianya mudah dan sangat mesra pengguna. Kita guna teknologi AI ini sebagai medium kita berkomunikasi dengan rakyat.
“Rakyat boleh tanya apa sahaja soalan dan di situ, AI Digital Human ini yang akan menjawab semua. Apa jua bahasa termasuk 12 bahasa lain termasuk bahasa Melayu, Mandarin, Arab, Jepun dan sebagainya,” katanya ketika melancarkan aplikasi itu di sini hari ini.
Terdahulu, Saifuddin turut menguji fungsi AI Digital Human itu yang turut memaparkan fungsi alih suara dalam pelbagai bahasa lain.
AI Digital Human itu memaparkan wajah ‘mirip’ Saifuddin dalam bentuk paparan penuh badan dan lebih unik, suara digunakannya juga mirip lenggok suara sebenar Menteri Dalam Negeri.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, KDN menyasarkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam agensi di bawahnya diperluas bagi meningkatkan produktiviti, kecekapan kerja, mempercepatkan sistem penyampaian dan penjimatan.
Katanya, beliau telah meletakkan asas atau hala tuju yang jelas berkaitan penggunaan AI sejak tiga tahun lalu, termasuk membantu agensi di bawah kementerian itu menterjemahkan teknologi berkenaan dalam tugas hakiki masing-masing. – UTUSAN










