SC terima 3,262  aduan penipuan tahun lalu

SC terima 3,262  aduan penipuan tahun lalu

AWANG ADEK HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima sebanyak 3,262 aduan dan pertanyaan mengenai penipuan dan aktiviti tidak berlesen pada tahun lalu, peningkatan tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu. 

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata, berdasarkan Laporan Tahunan 2023 yang dikeluarkan, pihaknya hanya menerima 774 aduan dan pertanyaan berhubung aktiviti terbabit pada 2019.

“Selama bertahun-tahun, kami melihat banyak kejadian individu atau entiti telah ditipu, diperdaya, diberikan maklumat palsu serta didesak untuk memberikan wang dan simpanan persaraan mereka oleh aktiviti penipuan licik yang menjanjikan pulangan dan faedah yang sangat lumayan.

“Aktiviti demikian juga dicerminkan dalam peningkatan dari jumlah aduan dan pertanyaan yang diterima oleh SC iaitu mengenai aduan dan pertanyaan yang kebanyakannya berdasarkan penipuan dan aktiviti tidak berlesen,” katanya dalam sidang akhbar sempena penerbitan laporan kewangan SC 2023.

Dalam sesetengah kes, SC memaklumkan, penipu menyalahgunakan nama agensi seperti SC, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), pengantara berlesen, visual selebriti tempatan dan pemimpin agama untuk memberi jaminan kesahihan terhadap skim pelaburan terbabit.

SC berkata, penggunaan plaform media sosial, khususnya Facebook dan Telegram terus menjadi mod utama pelaku untuk menjalankan aktiviti haram pada 2023.

“Modus baharu diperhatikan pada 2023 adalah penggunaan e-dompet dan mata wang kripto sebagai cara pembayaran yang membabitkan penipuan pelaburan, berbanding akaun bank keldai yang digunakan sebelum ini.

“Memandangkan taktik yang berubah-ubah oleh pelaku, SC kekal melaksanakan pemantauan dan pengawalseliaan yang berterusan untuk mengurangkan risiko entiti terkawalnya, berpotensi untuk digunakan sebagai saluran aktiviti haram,” katanya. 

Dalam laporan tahunan itu, pihaknya telah memperoleh lima sabitan jenayah dan denda sebanyak RM8.7 juta bersama RM4.8 juta penalti sivil yang dikenakan oleh mahkamah pada 2023.

Katanya, SC juga telah melunaskan RM13.8 juta menurut penyelesaian kawal selia yang dibuat dengan enam orang dalam kes berasingan serta sebanyak 140 sekatan pentadbiran telah dikenakan yang menyebabkan SC mengenakan denda dan penalti berjumlah RM19.5 juta. 

“SC terus mengekalkan tumpuan yang kukuh untuk menggalakkan tadbir urus korporat yang baik (CG) dan dalam penilaian tadbir urus korporat ACGA 2023, SC mengekalkan kedudukan kelima dalam kalangan 12 pasaran Asia- Pasifik.

“Melalui itu, SC telah meningkatkan usaha untuk melindungi pelabur dan memerangi penipuan dengan mewujudkan Pasukan Petugas Dalaman.

“Ini untuk menyelaras campur tangan anti-penipuan, mempertingkatkan halaman ‘senarai peringatan pelabur’ serta membangunkan platform seperti pemeriksa pelaburan dan meter penipuan untuk pelabur,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya