PETALING JAYA: Pengeluar kereta nasional Proton melaporkan 13,602 jualan bagi domestik dan eksport pada Februari, sekali gus mencatatkan peningkatan tiga peratus dalam jumlah jualan untuk dua bulan pertama kepada 26,484 unit berbanding tahun sebelumnya.
Pencapaian itu khususnya patut diberi perhatian kerana jualan automotif secara tradisinya lebih perlahan pada awal tahun selepas dorongan jualan akhir tahun pada Disember.
Selepas dua bulan pertama 2024, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan meningkat sebanyak 13.8 peratus setakat ini kepada 129,353 unit kerana kemasukan jenama baharu bagi kedua-dua pasaran kenderaan tradisional dan kenderaan elektrik (EV) menjana minat ramai pembeli.
Pegangan pasaran Proton diramalkan berada pada 20.5 peratus, meletakkannya di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan jualan automotif nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, jualan memberangsangkan itu disokong oleh permintaan domestik yang konsisten serta peningkatan pertumbuhan eksport.
“Oleh itu, pasaran eksport Proton akan menjadi tumpuan pertumbuhan pada 2024 dan kami juga mempunyai harapan yang tinggi untuk Proton S70 menguasai segmennya kerana penghantaran terus meningkat dalam beberapa bulan yang akan datang.
“Setelah meluaskan jejak kami merentasi banyak negara, kami akan terus berusaha bersungguh-sungguh membawa model Proton ke tahap yang lebih tinggi dalam pasaran eksport ini yang berpotensi untuk mengembangkan jualan kami dengan ketara dalam jangka masa panjang,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Proton, S70 menguasai segmennya dan jualan Saga melebihi 6,000 unit untuk lima bulan berturut-turut.
Ujarnya, Proton S70, telah membuka minat terpendam daripada pembeli dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Jualan meningkat 60.5 peratus kepada 2,314 unit pada bulan Februari selari dengan peningkatan pengeluaran, menjadikannya kereta sedan segmen-C yang paling popular di Malaysia.
“Dengan sambutan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal tiba, prestasi cemerlang dijangka berterusan di Malaysia dan pasaran eksport pertamanya, Brunei.
“Proton Saga pula kekal sebagai tawaran menarik untuk pembeli kereta dengan 6,212 unit terjual pada Februari, melepasi 6,000 unit sebulan untuk bulan kelima berturut-turut,” katanya.
Selain itu, kereta segmen-B Proton Persona dan SUV utama Proton X90 terus menerajui kategori masing-masing dengan Proton Persona merekodkan jualan sebanyak 1,859 unit manakala Proton X90 meningkat sebanyak 2.5 peratus kepada 374 unit berbanding bulan sebelumnya.
Sementara itu, Proton X50 berada di tempat kedua untuk SUV segmen-B pada Februari, tetapi masih mengekalkan jualan yang sihat dengan 1,816 unit.
Bagi model Proton yang lain, X70 meningkat sebanyak 19.6 peratus kepada 445 unit manakala kereta hatchback segmen-B, Proton Iriz, menambah 3.8 peratus kepada 543 unit.
Akhirnya, walaupun pengeluaran telah tamat untuk Proton Exora, sebanyak 39 unit telah dijual pada Februari dan sehingga kini, lebih 194,250 unit telah dijual menjadikannya MPV segmen-C dengan jualan paling tinggi dalam sejarah automotif Malaysia. – UTUSAN










