KUALA LUMPUR: Prolintas Infra Business Trust mula menerima permohonan tawaran awam permulaan (IPO) daripada pelabur yang dianggar menjana sebanyak RM445.3 juta dan ia akan disenaraikan sebagai syarikat amanah perniagaan lebuh raya pertama di negara ini.
IPO berharga 95 sen sesaham itu, disokong oleh lapan pelabur asas termasuk Permodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji (TH), Maybank Asset Management Sdn Bhd dan Kenanga Investors Bhd.
Terdapat pelabur yang bersetuju untuk melanggan sebahagian besar IPO sebelum ia disenaraikan dan kehadiran mereka akan membantu meningkatkan daya tarikan syarikat kepada bakal pelabur baharu.
Tawaran itu akan ditutup pada 12 Mac 2024 dan dijangka disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 25 Mac ini.
Pengerusi Prolintas Managers Sdn. Bhd., Datuk Ikmal Hijaz Hashim berkata, sebanyak 422.949 juta unit IPO ditawarkan kepada Institusi dan sebanyak 285.449 juta unit IPO diperuntukkan untuk institusi serta pelabur terpilih tidak termasuk pelabur bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Selain itu, sebanyak 137.5 juta unit IPO dikhaskan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh MITI,” katanya selepas Pelancaran Prospektus Prolintas Infra Business Trust, di sini semalam.
Ikmal Hijaz menambah, lebihan tawaran sehingga 45.751 juta unit IPO yang melibatkan IPO untuk tawaran runcit akan terdiri daripada 27.5 juta unit IPO yang mewakili 2.5 peratus daripada jumlah unit dalam tawaran yang tersedia untuk permohonan orang awam Malaysia.
“Ia kemudian diikuti 18.251 juta unit IPO mewakili 1.66 peratus dikhaskan untuk individu yang layak, ” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai kenaikan tol, Ketua Kumpulan Pegawai Eksekutif Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd., Mohammad Azlan Abdullah berkata, terdapat rancangan untuk kenaikan tol, tetapi tertakluk kepada ulasan daripada kerajaan.
“Jika kerajaan tidak meluluskan kenaikan tol, mereka perlu memberi pampasan,” katanya.
Ujarnya, tol yang terlibat dengan kenaikan adalah Gerbang Cukai Elektronik (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Sistem Lingkaran-Lebuhraya Kajang (SILK), namun ia dalam tempoh sepuluh tahun akan datang.
“Pertama, tidak akan ada kenaikan tol untuk tol Akleh tetapi akan ada kenaikan sebanyak dua kali untuk tiga tol lain. Ia akan bermula pada 2033 dan kemudian selama sepuluh tahun akan datang,” katanya. – UTUSAN










