PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin terpaksa menaikkan Kadar Dasar Semalam (OPR), sekiranya berlaku peningkatan kadar inflasi rentetan rasionalisasi subsidi, kata penganalisis.
Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dasar monetari BNM adalah melalui mengawal kadar faedah seperti OPR termasuklah kecairan tunai dalam pasaran.
“Sekiranya kadar inflasi naik dan tidak terkawal barulah BNM akan menaikkan kadar OPR bagi mengurangkan bekalan tunai di pasaran dengan menaikkan kadar simpanan dan kadar pinjaman.
“Dasar monetari BNM perlu selari dengan dasar fiskal kerajaan untuk langkah pragmatik menguruskan ekonomi negara.
“Sebagai contoh, belanjawan negara yang mengembang diselaraskan dengan kecairan tunai yang mencukupi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Katanya, BNM pernah menaikkan kembali OPR daripada 1.75 peratus kepada tiga peratus pada kadar semasa disebabkan kadar inflasi kembali kepada empat hingga lima peratus pada 2022 dan berjaya menurunkan kadar inflasi kepada 1.5 peratus.
“Bagaimanapun, sekiranya kadar inflasi naik semula kepada tiga peratus hingga empat peratus maka OPR akan dinaikkan lebih tinggi dari sedia ada,” ujarnya.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, unjuran inflasi pada dua hingga 3.5 peratus oleh BNM akan menjadi penanda aras bagi pelaksanaan dasar monetari.
Katanya, BNM dijangka akan memantau kesan rasionalisasi subsidi terhadap kadar inflasi negara.
“Sekiranya, kenaikan inflasi disebabkan faktor tolakan kos, maka pihak BNM dijangka tidak bertindak kerana ia lebih kepada perubahan kos barangan oleh para peniaga.
“Namun, sekiranya kenaikan inflasi berpunca daripada faktor tekanan permintaan, berkemungkinan pihak BNM akan menaikkan OPR.
“Walau bagaimanapun, keputusan untuk menaikkan atau menurunkan OPR dilaksanakan dengan berhati-hati dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk prospek pertumbuhan ekonomi global dan domestik,” ujarnya.
Kelmarin, BNM berkata, langkah-langkah penstrukturan seperti rasionalisasi dalam subsidi adalah bersifat sementara dan tidak memerlukan campur tangan dasar monetari.
Bagaimanapun, BNM berkata, pihaknya akan terus berwaspada dan memerhatikan data sekiranya terdapat pendorong kepada in asi atau tekanan permintaan.-UTUSAN










